Dalang Disebalik Penyeludupan Cip NVIDIA Dari Malaysia Ke China Dikenalpasti

TechnologyDigital
11 Apr 2025 • 12:50 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Tahun 2025 merupakan tahun dimana kita dapat melihat banyak kemajuan dari segi pembangunan teknologi AI khususnya di China, seperti model bahasaraya DeepSeek yang diperkenalkan baru-baru ini. Ramai yang bertanya bagaimanakah syarikat-syarikat tersebut boleh mendapatkan kad-kad grafik AI NVIDIA, sedangkan negara tersebut sedang berhadapan dengan sekatan ekonomi yang dikenakan oleh Amerika Syarikat.

Ia diketahui bahawa kad-kad grafik tersebut telah diseludup dari Singapura ke China, dan kini, dalang disebalik perkara tersebut sudahpun diketahui, dan namanya ialah Alan Wei Zhaolun rakyat naturalisasi Singapura yang berasal dari China.

Alan dilaporkan memegang jawatan dalam sebanyak 15 firma di rantau Asia, termasuklah Aperia Cloud Services and A-Speed Infotech Pte dan beroperasi dalam sektor perkomputeran melalui Singapura. Aperia Cloud Services khususnya ialah salah satu rakan perdagangan utama NVIDIA di rantau Asia Tenggara, dan bukan sahaja mempunyai pejabat di Singapura, malah di Malaysia juga.

image is not available

Laporan dari The Edge mengatakan bahawa Aperia Cloud Services akan membeli mesin-mesin pelayan yang dibina oleh syarikat-syarikat pembina seperti Super Micro dan Dell, dimana mesin-mesin ini dihantar dari Amerika Syarikat ke Malaysia melalui Singapura. Buat masa ini ia tidak diketahui lagi bagaimanakah kad-kad grafik ini dihantar dari Malaysia ke China.

Seorang lagi individu yang didakwa oleh mahkamah Singapura ialah Aaron Woon Guo Jie seorang rakyat Singapura yang juga Ketua Pegawai Operasi untuk Aperia Cloud, yang telah melanggar peraturan perdagangan dengan Amerika Syarikat yang mengatakan bahawa mesin-mesin pelayan yang dibeli dan dihantar tidak boleh diberi kepada individu ataupun syarikat yang tidak termaktub dalam perjanjian jual-beli.

Kedua-dua Alan Wei dan Aaron Woon telah dilepaskan dengan ikat jamin buat masa ini, dan perbicaraan seterusnya telahpun ditetapkan pada tarikh 2 Mei 2025.