Sejumlah Industri Dilaporkan Akan Dikecualikan Dari Tarif Terbaru Amerika Syarikat Buat Masa Ini

TechnologyDigital
4 Apr 2025 • 1:06 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Semalam, Presiden Amerika Syarikat Donald Trump telah mengumumkan kenaikan tarif baru untuk kira-kira 60 buah negara di seluruh dunia, yang akan menyebabkan kenaikan harga dari segi kos untuk mengeksport produk ke pasaran Amerika Syarikat. Sebelum ini ia dilaporkan bahawa sejumlah besar industri global akan terkesan dengan keputusan ini.

Terkini, nampaknya arahan tarif tersebut telah dikemaskini untuk mengecualikan beberapa sektor ekonomi daripada dikenakan tarif eksport yang lebih mahal. Ini termasuklah produk-produk seperti cip semikonduktor, tembaga, ubat-ubatan dan kayu balak akan dikenakan tarif yang sama seperti sebelum ini.

image is not available

Ia dilaporkan juga bahawa ia bukanlah bermakna bahawa produk-produk cip semikonduktor, perubatan dan kayu balak tidak akan dikenakan tarif buat masa ini, kerana kerajaan Amerika Syarikat sedang mempertimbangkan pengenalan tarif khas untuk industri-industri ini.

Buat masa ini, kerajaan tersebut nampaknya sedar akan kepentingan untuk memastikan kos import cip semikonduktor, ubat dan kayu balak kekal rendah buat masa ini, khususnya dengan isu kesihatan dan perumahan yang membelenggu rakyat negara tersebut sekarang.

Untuk industri cip semikonduktor khususnya, tarif sedia ada dikekalkan untuk cip-cip yang dibuat dari negara-negara seperti Taiwan, Jepun, Korea Selatan dan negara-negara Eropah buat masa ini. Sayangnya, ia juga disahkan bahawa syarikat Amerika Syarikat yang mengimport kelengkapan untuk mengilang cip semikonduktor masih lagi akan perlu membayar tarif tambahan 20 peratus untuk kelengkapan yang dibeli dari Eropah dan 24 peratus untuk kelengkapan dari Jepun.

Sebagai contoh, sebuah mesin litografi Low-NA EUV hadir dengan tanda harga sekitar $200 juta, dan sebuah mesin litografi High-NA EUV dari ASML di Belanda bernilai $380 juta, jadi penambahan tarif 20-24 peratus untuk sebuah mesin sahaja akan memperlihatkan peningkatan harga yang cukup mendadak sekali.