Damok sah bersama MT Helmets-MSI musim depan

21 Oct 2022 • 7:07 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

SEPANG: Anak Malaysia akan kembali mewarnai persaingan Kejuaraan Motosikal Dunia Grand Prix (MotoGP) apabila Syarifuddin Azman (gambar) atau dikenali Damok sah menyertai pasukan MT Helmets-MSI musim depan.

Perkembangan gembira itu diumumkan MT Helmets-MSI menerusi hantaran di Instagram mereka yang menyaksikan Damok akan bergandingan bersama pelumba dari Brazil, Diogo Moreira dalam saingan Moto3.

Damok yang beraksi menerusi tiket wildcard bersama pasukan Vision Track Racing di GP Malaysia 2022 minggu ini menyifatkan pengumuman berkenaan satu yang mengejutkan dan perkembangan itu secara tidak langsung membakar semangatnya menjelang perlumbaan di Litar Sepang, Ahad ini.

Pelumba berusia 20 tahun itu menzahirkan rasa terima kasih kepada Pengurus pasukan ZK Racing Muhammad Zulfahmi Khairuddin yang berusaha melakukan rundingan bersama beberapa pasukan untuk memastikan tempat untuknya berlumba musim depan.

“Alhamdulillah kerana Zulfahmi dapatkan tempat untuk saya sebab dia percayakan saya dan keputusan saya pada Kejuaraan Dunia Junior GP amat bagus tetapi bagi diri saya ia masih lagi tidak cukup.

“Saya kena siapkan diri saya secepat mungkin untuk berada di kejuaraan dunia,” katanya ketika ditemui pemberita selepas sesi Latihan Bebas 2 kelas Moto3 di sini hari ini.

Sebagai rekod, Damok bakal muncul pelumba tempatan ke-10 yang membuat penampilan musim penuh dalam saingan Kejuaraan MotoGP selepas Shahrol Yuzy Ahmad Zaini menjadi rakyat Malaysia pertama beraksi pada 2000-2002.

Sementara itu, Muhamamd Zulfahmi berkata persetujuan Damok menyertai Kejuaraan MotoGP dibuat ZK Racing kerana SIC belum memberikan sebarang arahan kepadanya bagi musim 2023.

“Jadi dengan kapasiti saya sebagai pasukan sokongan Damok, kita ambil risiko menandatangani perjanjian dengan pasukan itu. Pasukan itu adalah yang terbaik selepas banyak pasukan saya berunding.

“Saya yakin Damok seorang pelumba berpotensi dan menunjukkan peningkatan setiap tahun serta dengan keputusan dibuat tahun ini di Kejuaraan Dunia Junior GP saya rasa dia layak untuk pergi ke kejuaraan dunia tahun depan,” katanya.

Damok kini berada di tempat keempat dalam senarai kedudukan pelumba Kejuaraan Dunia Junior GP mengumpul keseluruhan 110 mata dengan berbaki dua lagi pusingan perlumbaan di Valencia, Sepanyol pada 30 Okt ini.-Bernama