
JASA Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) amat besar terutama dalam usaha memastikan rakyat negara ini mendapat peluang pendidikan sewajarnya.
Setakat ini, sebanyak RM66.87 bilion pinjaman telah diberikan oleh organisasi tersebut kepada 3.67 juta rakyat Malaysia sejak ia mula beroperasi pada 1 November 1997.
Namun, kerana sikap peminjam yang culas dalam membuat bayaran balik bakal mengundang risiko kepada PTPTN dalam memastikan dana mereka sentiasa mencukupi untuk generasi seterusnya.
Felo Kanan Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), Profesor Geoffrey Williams dalam satu seminar ekonomi bertajuk ‘Laluan Untuk Masa Depan Malaysia Yang Lebih Baik’ baru-baru ini mendedahkan dana PTPTN hanya mampu bertahan untuk tempoh dua tahun lagi.
Menurut Geoffrey, dapatan yang diperoleh daripada domain awam data itu adalah sesuatu yang amat membimbangkan sekiranya tiada langkah segera diambil.
Mengambil kira tempoh dua tahun itu, ia adalah satu jangka masa yang sangat pendek untuk PTPTN dan kerajaan memastikan isu dana tidak memberi kesan kepada sektor pendidikan tinggi negara pada masa akan datang.
Dapatan yang didedahkan oleh Geoffrey itu juga ada signifikannya apabila isu tersebut turut disentuh oleh Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid dalam satu program temu bual bersama Astro Awani baru-baru ini.
Ahmad Dasuki menjelaskan organisasi itu berdepan cabaran untuk memastikan dana sentiasa mencukupi sekali gus menuntut peminjam membuat pembayaran balik demi kelangsungan pelajar untuk melanjutkan atau meneruskan pengajian.
Modal pembiayaan yang diguna pakai oleh PTPTN sebenarnya bergantung kepada prestasi bayaran balik sebagai sumber utama dana bagi membiayai pinjaman sedia ada dan pembiayaan baharu.
Difahamkan, nilai pinjaman yang telah berjaya dikutip setakat Jun 2022 ialah RM17.8 bilion melibatkan lebih dua juta atau 82.04 peratus peminjam.
Angka itu jauh sangat rendah berbanding keseluruhan nilai pinjaman RM66.87 bilion yang telah diberikan kepada para pelajar sejak tahun 1997.
Peminjam juga terbeban
Maka, satu langkah segera perlu difikirkan PTPTN dan kerajaan terutama dalam mencari cara agar peminjam membayar kembali pinjaman mereka.
Bagaimanapun, harus diakui bahawa kekangan utama untuk peminjam membayar kembali pinjaman PTPTN adalah disebabkan kekangan kewangan ekoran gaji yang tidak mencukupi.
Ada juga peminjam yang masih menganggur walaupun sudah tamat belajar kerana tiada peluang pekerjaan bersesuaian, menyaksikan mereka gagal membayar pinjaman.
Siapa yang harus dipersalahkan dalam hal ini? Apatah lagi jumlah pinjaman PTPTN yang ditanggung oleh peminjam sangat tinggi kerana ada universiti swasta yang didakwa membuat keuntungan hasil hutang PTPTN pelajar.
Malah, impak selepas Covid-19 ini juga dijangka turut memberi kesan kepada pembayaran balik pinjaman tersebut dengan rata-rata rakyat menerima tempias pandemik tersebut.
Bukan tiada langkah yang diambil oleh PTPTN untuk menggalakkan peminjam membayar pinjaman masing-masing termasuk memberikan diskaun, malah pernah melakukan langkah lebih ekstrem iaitu menyekat peminjam ke luar negara.
Langkah menyekat peminjam ke luar negara itu telah pun ditarik balik beberapa tahun lalu dan kini timbul ura-ura bahawa langkah undang-undang mungkin diambil semula kepada peminjam ingkar.
Dalam keadaan ekonomi yang serba mencabar ini, satu pendekatan menang-menang antara peminjam dan pihak PTPTN perlu dicari sekali gus tidak membebankan peminjam dan dalam masa sama memastikan organisasi itu mendapat kembali dana.
Apa yang boleh dilakukan oleh peminjam juga adalah cuba untuk berbincang dengan PTPTN dan mereka sudah tentu sentiasa bersedia untuk membantu menstruktur kembali pinjaman termasuk mereka yang kehilangan pekerjaan sewaktu pandemik Covid-19.
Jika langkah drastik dan segera tidak diambil, maka PTPTN akan berdepan masalah memberikan dana kepada pelajar baharu dan kerajaan tidak mempunyai pilihan selain perlu menyuntik dana kepada organisasi tersebut yang akan turut memberi implikasi kepada kewangan negara.
*Muhammad Zakwan Nazaraly ialah wartawan Sinar Harian

