Daniel Khoo terima Bintang Cemerlang Melaka

27 Aug 2026 • 11:42 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Daniel Khoo terima Bintang Cemerlang Melaka

PETALING JAYA: Pengerusi Pertubuhan Keprihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC) Pahang, Daniel Khoo menerima Bintang Cemerlang Melaka (B.C.M) sebagai pengiktirafan terhadap jasa dan sumbangannya kepada masyarakat.

Daniel merupakan antara 431 penerima Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka sempena Sambutan Hari Jadi Ke-77 Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam bagi sesi Ketiga, hari ini.

Istiadat penganugerahan berlangsung di Seri Negeri, Melaka.

“Pengiktirafan itu cukup bermakna buat saya yang selama ini dikenali sebagai aktivis masyarakat yang lantang menyuarakan pelbagai isu berkepentingan rakyat,” katanya dalam kenyataan.

Selain peranannya bersama MCCC Pahang, Daniel turut aktif sebagai aktivis Malaysian Humanitarian Organisation (MHO) dan pernah terlibat dalam usaha membantu serta menyelamatkan mangsa pemerdagangan manusia.

Penglibatan tersebut memperlihatkan komitmen beliau dalam memperjuangkan isu kemanusiaan dan membantu golongan yang menjadi mangsa eksploitasi serta jenayah.

Daniel juga sering tampil menyuarakan pandangan mengenai isu keselamatan, jenayah dan kebajikan masyarakat, selain tidak berdiam diri apabila berdepan isu yang menyentuh kepentingan rakyat.

Dalam masa sama, beliau dikenali dengan pendiriannya yang lantang mempertahankan institusi diraja, khususnya apabila timbul isu yang dilihat menyentuh kedudukan serta kewibawaan institusi berkenaan.

Daniel melahirkan rasa gembira dan terharu menerima B.C.M berkenaan, sambil menyifatkan pengiktirafan itu sebagai satu penghormatan besar dan amanah untuk beliau terus memberikan sumbangan kepada masyarakat.

“Bagi saya, segala usaha yang dilakukan selama ini bukan semata-mata untuk mengejar pengiktirafan, sebaliknya didorong keinginan untuk membantu masyarakat dan menyuarakan perkara yang dirasakan perlu mendapat perhatian,” katanya.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Yang di-Pertua Negeri Melaka dan Kerajaan Negeri Melaka atas kepercayaan serta pengiktirafan tersebut.

Katanya, anugerah berkenaan akan menjadi pembakar semangat untuk beliau meneruskan kerja kemasyarakatan, termasuk memperjuangkan hak dan keselamatan golongan yang memerlukan pembelaan.

Beliau turut berharap pengiktirafan itu dapat menjadi dorongan untuk terus menyumbang kepada masyarakat dalam apa jua ruang yang mampu dilakukannya.-UTUSAN

The post Daniel Khoo terima Bintang Cemerlang Melaka appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved