MELAKA - Polis mempertingkat kawalan di sempadan Malaysia-Thailand susulan lebih 50 insiden termasuk pengeboman, pembakaran pejabat kerajaan tempatan dan pembakaran tayar yang dilaporkan tiga wilayah di Selatan Thailand, Sabtu lepas.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail berkata, beliau turut menasihati orang ramai agar menjauhi kawasan konflik berkenaan buat masa ini bagi mengelakkan risiko kepada mereka.
"Kita mempertingkatkan kawalan di sempadan kerana kita khuatirlah… pertama sekali rakyat Malaysia yang sering kali berkunjung ke sana.
"Pada pandangan saya, dalam keadaan keselamatan yang agak tegang ini, lebih baiklah supaya rakyat kita ni mengurangkan pergerakan ke sana dan cuba mengelakkan (berkunjung ke kawasan konflik) pada masa ini… itu yang terbaik saya rasa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Istiadat Penganugerahan Darjah, Tauliah, Bintang dan Pingat Kebesaran sempena Hari Jadi ke-77 Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini hari ini.
Terdahulu, Mohd Khalid menerima Darjah Gemilang Seri Melaka (D.G.S.M) yang membawa gelaran Datuk Seri pada majlis berkenaan.
Pada masa sama, beliau turut berharap konflik berkenaan dapat diselesaikan dengan baik sekali gus dapat menjamin keamanan di sempadan negara.
"Kita berdoa semoga semuanya dapat diselesaikan dengan baik dan kedua-dua negara, terutama sekali di sempadan itu kekal aman dan tenteram, insya-ALLAH,” katanya.
Terdahulu, wilayah Narathiwat dikenakan perintah berkurung bermula 10.15 malam tadi hingga 5 pagi selepas lebih 50 insiden termasuk pengeboman, pembakaran pejabat kerajaan tempatan dan pembakaran tayar dilaporkan berlaku di tiga wilayah berkenaan.
Letupan kuat dari arah Narathiwat, Selatan Thailand itu turut menggegarkan kediaman dan menimbulkan kebimbangan kepada penduduk di sempadan Malaysia-Thailand, termasuk Kampung Lubok Gong dan Kampung Tersang, Rantau Panjang di Pasir Mas, Kelantan. - Bernama





