DAP Melaka cadang PRN, PRU diadakan serentak

LocalPolitics
14 Mar 2026 • 11:26 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Poay Tiong.

MELAKA - DAP Melaka mencadangkan supaya Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan secara serentak susulan negara bakal berdepan lima pilihan raya utama dalam tempoh 18 bulan.

Pengerusi DAP Melaka, Khoo Poay Tiong berkata, ia membabitkan PRN Melaka Disember ini, diikuti Sarawak, Johor pada Mac tahun depan, PRU pada Disember 2026 dan seterusnya PRN di enam negeri lain.

Menurutnya, pilihan raya yang diadakan secara berasingan akan melibatkan perbelanjaan lebih tinggi selain mengganggu tumpuan terhadap ekonomi dan pembangunan negara.

“Dalam tempoh 18 bulan akan ada lima pilihan raya utama. Jika diadakan secara berasingan, ia menyukarkan kita untuk memberi fokus kepada ekonomi dan pembangunan.

“Sebab dalam tempoh itu semua pihak akan menumpukan perhatian kepada persiapan pilihan raya dan pelabur mungkin akan mengambil sikap tunggu dan lihat,” katanya ditemui pada Majlis Iftar bersama media Melaka.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pelabur lazimnya akan menunggu keputusan pilihan raya sebelum membuat keputusan untuk melabur.

“Keadaan ini boleh menyebabkan pembangunan negara tergendala. Jadi adalah lebih baik jika pilihan raya diadakan sekali gus.

“Dari segi perbelanjaan juga, pengundi tidak perlu keluar mengundi dua kali. Saya melihat ada keperluan ke arah itu.

“Kalau kerajaan pusat tidak dapat melaksanakannya sekali gus, sekurang-kurangnya PRN boleh diadakan secara serentak dan tidak berasingan,” katanya.

Beliau turut menyatakan kebimbangan kemungkinan peratusan keluar mengundi akan menurun, terutama bagi PRN jika ia diadakan secara berasingan.

Tambahnya, situasi ketidaktentuan global termasuk konflik yang berlaku di Iran juga boleh memberi kesan kepada ekonomi negara dan wajar dipertimbangkan.

Jelasnya, pandangan tersebut telah disampaikan kepada rakan-rakan politik serta pihak berkepentingan.

“Bersurat itu tidak ada, cuma apabila berjumpa saya ada menyampaikan cadangan dan pandangan ini.

“Saya juga telah berkongsi pandangan ini kepada pihak yang boleh menentukan tarikh pilihan raya tersebut,” katanya.