PKR kenal pasti 28 kerusi berpotensi ditandingi pada PRN Johor

LocalPolitics
5 Mar 2026 • 2:46 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Dr Zaliha

JOHOR BAHRU – Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor mengenal pasti sebanyak 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) berpotensi untuk ditandingi parti itu pada Pilihan Raya Negeri Johor (PRN) yang dijangka berlangsung dalam masa terdekat.

Pengerusi PKR Johor, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata, keputusan tersebut dibuat selepas Majlis Pimpinan Negeri (MPN) parti mengadakan pemukiman Bengkel Pilihan Raya PKR 2026 selama dua hari pada 28 Februari hingga 1 Mac lalu di Muar.

Menurutnya, bengkel berkenaan turut dihadiri Naib Presiden parti, Amiruddin Shaari yang mengetuai Jawatankuasa Pilihan Raya Pusat dan menyampaikan amanat kepada jentera pilihan raya negeri Johor serta Melaka.

“Dalam bengkel itu, kita telah mengenal pasti 28 kerusi berpotensi untuk ditandingi PKR berdasarkan penilaian semasa kekuatan organisasi serta analisis kawasan.

“Penetapan sasaran ini dibuat selepas penyelarasan kekuatan parti melibatkan kesemua 26 cabang PKR Johor dilaksanakan,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, sasaran tersebut mencerminkan kedudukan semasa parti serta tumpuan terhadap kawasan yang dikenal pasti mempunyai potensi saingan lebih kukuh.

Menurutnya, PKR Johor juga mengambil pendekatan terbuka terhadap pelbagai kemungkinan landskap politik semasa termasuk kemungkinan berlakunya pertandingan tiga penjuru.

“Selain itu, kita turut mengambil kira kemungkinan kesinambungan kerjasama dalam kerangka Pakatan Harapan dan Barisan Nasional serta kemungkinan PRN dan Pilihan Raya Umum Malaysia diadakan secara serentak atau berasingan,” katanya.

Tambah beliau, pengukuhan jentera parti kini sedang ditumpukan kepada beberapa DUN yang dikenal pasti sebagai kawasan tumpuan dengan penyelarasan operasi lapangan dan penggemblengan kekuatan organisasi secara lebih tersusun.

“Langkah ini menandakan fasa baharu gerak kerja PKR Johor yang kini bergerak dengan sasaran lebih jelas dan jajaran lebih terarah menjelang PRN akan datang,” katanya.

Pada Pilihan Raya Negeri Johor 2022, PKR bertanding di 20 kerusi DUN namun hanya berjaya memenangi satu kerusi iaitu di Bukit Batu menerusi calonnya, Chiong Sen Sern.