DAP perlu buat penilaian menyeluruh pencapaian parti dalam Kerajaan Perpaduan – Gobind

LocalPolitics
16 Aug 2026 • 2:55 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: DAP perlu buat penilaian menyeluruh pencapaian parti dalam Kerajaan Perpaduan – Gobind

PUTRAJAYA: DAP perlu membuat penilaian menyeluruh terhadap prestasi, pencapaian dan kekurangan sepanjang tiga setengah tahun berada dalam Kerajaan Persekutuan sebelum menetapkan hala tuju parti bagi tempoh 18 bulan mendatang.

Pengerusi Kebangsaan DAP, Gobind Singh Deo berkata, penyertaan parti dalam kerajaan menuntut setiap pimpinan dan anggota memikul tanggungjawab bersama dalam menentukan pendekatan terbaik demi kepentingan negara.

Katanya, selepas enam dekad, DAP kini mempunyai peluang untuk meneruskan agenda reformasi dengan memperkukuh asas Malaysia sebagai sebuah negara maju.

“Selepas 60 tahun, kita kini sebahagian daripada kerajaan. Persoalannya, adakah kita mahu terus bergerak ke hadapan untuk melaksanakan reformasi Malaysia dan memperkukuhkan negara sebagai sebuah negara maju,” katanya sewaktu berucap pada Persidangan Kebangsaan DAP di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, hari ini.

Beliau berkata, keputusan berkenaan bukan hanya tanggungjawab kepimpinan tertinggi, sebaliknya perlu dipikul oleh seluruh anggota parti kerana setiap individu mempunyai peranan dalam menentukan masa depan DAP.

Katanya, keputusan yang dicapai menerusi persidangan itu bakal menjadi asas kepada pendekatan parti dalam menghadapi tempoh seterusnya.

“Ini adalah tanggungjawab kita, setiap ahli mempunyai peranan berbeza kerana keputusan hari ini akan menentukan hala tuju kita selepas ini,” katanya.

Tambah Gobind, pengalaman lebih tiga tahun setengah dalam Kerajaan Persekutuan perlu dijadikan asas untuk DAP menilai perkara yang telah dicapai, termasuk kelemahan yang masih memerlukan penambahbaikan.

Katanya, keputusan beberapa Pilihan Raya Negeri (PRN) yang berlangsung kebelakangan ini turut menjadi antara perkara penting yang perlu diperhalusi dalam menentukan arah baharu parti.

“Kita baru melalui beberapa pilihan raya dan kita menerima keputusan yang dibuat rakyat. Namun, keputusan itu menuntut kita melihat semula bagaimana kita mahu bergerak ke hadapan,” katanya.

Beliau berkata, setiap keputusan politik yang dibuat parti mempunyai implikasi terhadap negara, justeru kepentingan rakyat dan masa depan Malaysia perlu menjadi pertimbangan utama.

“Kita perlu memastikan dalam tempoh 18 bulan akan datang, kita membuat keputusan yang terbaik untuk negara kita.

“DAP sebelum ini telah mengadakan pelbagai perbincangan berhubung isu kerajaan dan kepentingan negara, justeru pendekatan tersebut perlu diteruskan bagi mencari penyelesaian terhadap permasalahan rakyat.

“Perbincangan secara terbuka amat penting supaya pandangan yang dikemukakan anggota parti dapat diterjemahkan kepada tindakan lebih berkesan,” katanya. – UTUSAN

The post DAP perlu buat penilaian menyeluruh pencapaian parti dalam Kerajaan Perpaduan – Gobind appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved