DAP pertahan Tony Pua, dua lagi pemimpin yang dipanggil bantu siasatan

LocalPolitics
27 Nov 2026 • 4:53 PM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

DAP menzahirkan sokongan penuh terhadap tiga pemimpinnya yang dipanggil pihak berkuasa untuk memberikan keterangan dalam tempoh dua hari, sambil menegaskan bahawa mereka diyakini tidak bertindak melanggar undang-undang.

Menurut laporan Malaysia Gazette, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, ketiga-tiga individu terbabit ialah Setiausaha Politik kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Yap Yee Vonne, bekas Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua dan Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong.

Image from: DAP pertahan Tony Pua, dua lagi pemimpin yang dipanggil bantu siasatan

Beliau berkata, Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP teguh menyokong ketiga-tiga pemimpin berkenaan yang disifatkan menjalankan tanggungjawab masing-masing demi kepentingan masyarakat.

“Mereka menjalankan tanggungjawab kepada masyarakat, sama ada dalam melaksanakan tugas rasmi atau menyuarakan pandangan mengenai perkara berkepentingan awam.
“Kami sentiasa bersedia untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa dan yakin rakan-rakan kami bertindak mengikut undang-undang,” katanya dalam kenyataan hari ini seperti dilaporkan Malaysia Gazette.

Tiga pemimpin dipanggil beri keterangan

Yee Vonne dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 26 November berhubung isu lanjutan pajakan tanah Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH).

Image from: DAP pertahan Tony Pua, dua lagi pemimpin yang dipanggil bantu siasatan

Sementara itu, Pua hadir memberikan keterangan di Bukit Aman hari ini susulan hantarannya di Facebook mengenai minit mesyuarat Lembaga Pengampunan berkaitan isu tahanan rumah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Image from: DAP pertahan Tony Pua, dua lagi pemimpin yang dipanggil bantu siasatan

Poay Tiong pula dipanggil memberikan keterangan dalam kes berasingan selepas mempersoalkan menerusi Facebook mengenai arahan penutupan premis perniagaan ketika solat Jumaat di Kuala Terengganu.

Image from: DAP pertahan Tony Pua, dua lagi pemimpin yang dipanggil bantu siasatan

DAP tidak kebal daripada siasatan

Dalam pada itu, Loke menegaskan kedudukan DAP sebagai sebahagian daripada kerajaan bukan alasan untuk parti berkenaan mendapat layanan istimewa atau dikecualikan daripada sebarang siasatan.

Bagaimanapun, beliau berharap tindakan pihak berkuasa dilaksanakan secara konsisten tanpa mengira latar belakang atau keanggotaan parti politik seseorang individu.

“Penyertaan DAP dalam kerajaan tidak memberikan kami sebarang kekebalan daripada siasatan. Bagaimanapun, kami mengharapkan pihak berkuasa menerapkan standard yang sama dan bertindak dengan tahap kesegeraan yang sama ketika mengendalikan kes yang membabitkan pemimpin politik lain atau pihak daripada parti lain,” Loke.

Loke turut menegaskan bahawa DAP kekal komited dalam memperjuangkan prinsip tadbir urus yang baik, menegakkan keadilan serta membina sebuah Malaysia yang adil.

Sumber: Malaysia Gazette (Muhammad Azizul Osman)

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved