Ismail Sabri gesa semua menteri, timbalan menteri DAP ikut jejak Loke letak jawatan

LocalPolitics
13 Nov 2026 • 3:01 PM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menggesa semua menteri dan timbalan menteri daripada DAP supaya turut berundur daripada Kabinet sekiranya benar-benar berpegang kepada prinsip sama seperti Setiausaha Agung parti itu, Anthony Loke Siew Fook.

Menurut laporan Malaysia Gazette, beliau berkata, tindakan Loke melepaskan jawatan susulan isu tahanan rumah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sepatutnya menjadi pendirian bersama kepimpinan DAP dan bukannya keputusan yang hanya melibatkan seorang individu.

Beliau berpandangan, adalah tidak wajar sekiranya pemimpin parti berkenaan mengambil pendekatan berbeza sedangkan peletakan jawatan itu dikaitkan dengan prinsip yang diperjuangkan DAP.

“Kalau Anthony Loke boleh letak jawatan, menteri-menteri lain pun patut mempunyai prinsip sama iaitu prinsip DAP untuk meletakkan jawatan.
“Ada dua lagi menteri penuh mereka yang belum letak jawatan. Menteri penuh perlu letak jawatan, timbalan menteri pun perlu letak jawatan kerana ini keputusan setiausaha agung mereka yang mewakili DAP,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program walkabout di Taman Seri Chinchin, Jasin pada Khamis.

Image from: Ismail Sabri gesa semua menteri, timbalan menteri DAP ikut jejak Loke letak jawatan

Foto arkib: PMO

Program berkenaan turut dihadiri calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rim, Datuk Khaidhirah Abu Zahar.

Sementara itu, Ismail Sabri turut mengkritik tindakan DAP yang didakwanya masih menjadikan isu tahanan rumah Najib sebagai bahan kempen sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Ujarnya, perkara tersebut tidak sepatutnya terus dipolemikkan memandangkan keputusan berkaitan telah dibuat melalui Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong.

Beliau berpendapat, keputusan berkenaan sewajarnya dihormati oleh semua pihak dan dilaksanakan tanpa menimbulkan pertikaian terhadap institusi diraja.

“Sepatutnya keputusan Lembaga Pengampunan itu terus dilaksanakan. Apabila DAP menggunakan isu ini dalam kempen, mereka tidak sedar bahawa tindakan itu bercanggah dengan keputusan Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong.
“Sebab itu kita faham apabila Istana Negara mengeluarkan kenyataan bahawa tindakan itu adalah ingkar terhadap perintah Yang di-Pertuan Agong,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri menyeru masyarakat, khususnya orang Melayu serta mereka yang menjunjung Perlembagaan Persekutuan, supaya meneliti pendirian DAP berhubung isu tersebut.

Beliau turut mempersoalkan prinsip yang dibawa parti berkenaan apabila tindakannya didakwa tidak selari dengan keputusan berkaitan Yang di-Pertuan Agong.

“Bagi saya, mereka menunjukkan belang apabila bercakap mengenai prinsip tetapi dalam masa sama mencabar keputusan yang dilaksanakan Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

Sumber: Malaysia Gazette (Shawaliah Hadir)

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved