
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu
Parti DAP Pulau Pinang berpendirian Perlembagaan Persekutuan secara jitu menetapkan Pulau Pinang dan Kedah ialah dua negeri yang berasingan dalam Persekutuan Malaysia.
Susulan itu, Pengerusinya, Steven Sim Chee Keong berkata, pihaknya akan terus mempertahankan Perlembagaan Persekutuan serta kedaulatan Pulau Pinang daripada sebarang cubaan mempersoalkan kedudukan ini.
Lebih wajar Sanusi tumpukan perhatian kepada usaha bangunkan negeri Kedah
Menurutnya, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Noor sebaiknya menumpukan perhatian kepada usaha membangunkan negeri Kedah dan menjaga kebajikan rakyatnya, bukannya berpolitik tanpa henti.
“Pada masa yang sama, Pas Pulau Pinang dan rakan-rakan mereka dalam Perikatan Nasional (PN) Pulau Pinang perlu menjelaskan kepada rakyat sama ada mereka akan mengkhianati Pulau Pinang dengan bersetuju dengan tuntutan Kedah terhadap Pulau Pinang?
“Rakyat berhak mengetahui pendirian sebenar mereka,” katanya menerusi kenyataan dipetik Sinar Harian hari ini (14 November).
Isu tuntutan diselesaikan melalui proses undang-undang
Sebelum ini, PAS Pulau Pinang menyambut baik kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow yang bersetuju agar isu tuntutan Kedah terhadap Pulau Pinang diselesaikan melalui proses undang-undang.
Ketua Penerangannya, Muhammad Fawwaz Mohamad Jan berkata, langkah itu merupakan pendekatan terbaik bagi memastikan keadilan ditegakkan berdasarkan fakta sejarah dan perundangan yang sahih.
Ujar Ahli Parlimen Permatang Pauh itu lagi, PAS Pulau Pinang juga berharap agar proses ini dapat menyingkap kebenaran sejarah yang selama ini diputarbelitkan oleh pihak penjajah.
Menurutnya, kebenaran sejarah amat penting bagi memastikan hak dan kedudukan negeri-negeri dalam Persekutuan Malaysia difahami dengan tepat oleh rakyat.
“Pas Pulau Pinang menggesa agar DAP, yang sering melaungkan prinsip keluhuran dan kedaulatan undang-undang, berpegang teguh kepada prinsip tersebut dengan memberi ruang isu ini diselesaikan melalui saluran undang-undang, bukan melalui naratif politik yang boleh mencetuskan polemik serta kekeliruan dalam kalangan rakyat,” tambahnya lagi.
Isu pajakan Pulau Pinang, Sanusi tak gentar & tak akan berundur
Sementara itu, Muhammad Sanusi menerusi satu kenyataan semalam (13 November) menegaskan beliau tidak akan berundur dalam usaha menuntut semula hak negeri Kedah terhadap Pulau Pinang.
Beliau berkata, dirinya bersedia berdepan dengan sesiapa sahaja dan tidak sesekali berasa gentar diserang dengan pelbagai dakwaan.
“Lawan dengan siapa pun, saya tidak akan berundur lagi. Jangan gempar saya, jangan usik saya konon cabar Perlembagaan. Apa yang telah kita hilang, kita mahu dapat balik,” katanya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri itu berkata demikian semasa sesi penggulungan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, semalam.
