DAP Pulau Pinang serah keputusan usul kepada perwakilan

LocalPolitics
14 Aug 2026 • 2:01 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: DAP Pulau Pinang serah keputusan usul kepada perwakilan
Kon Yeow

GEORGE TOWN - DAP Pulau Pinang tidak menetapkan pendirian rasmi negeri berhubung usul sama ada parti itu perlu keluar daripada Kabinet namun terus menyokong Kerajaan Perpaduan pada Konvensyen DAP yang berlangsung Ahad ini.

Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat, Chow Kon Yeow berkata, semua perwakilan DAP dari negeri ini telah diberi taklimat berhubung usul yang akan dibentangkan untuk undian pada konvensyen berkenaan.

Menurutnya, Jawatankuasa Negeri DAP Pulau Pinang mengambil pendekatan terbuka dan menyerahkan keputusan kepada para perwakilan.

“Sebenarnya, setiap negeri ada cara untuk menghadapi konvensyen yang akan berlangsung pada Ahad ini.

“Bagi Pulau Pinang, Jawatankuasa Negeri dan perjumpaan pada hari Rabu itu adalah bersikap terbuka. Kita tidak buat satu pendirian rasmi negeri,” katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini pada Jumaat.

Beliau yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata, selain usul berhubung kedudukan DAP dalam Kabinet, tiada usul lain dibawa oleh Pulau Pinang untuk dibincangkan pada konvensyen berkenaan.

“Para perwakilan dari Pulau Pinang sudah pun diberi taklimat tentang usul yang perlu diundikan dan kita membiarkan para perwakilan membuat keputusan berkenaan.

“Usul itu berhubungan dengan sama ada DAP akan keluar dari Kabinet tetapi terus menyokong Kerajaan Perpaduan. Itu usul dia,” katanya.

Konvensyen DAP 2026 akan berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada Ahad ini.

Dijangka sebanyak 4,264 perwakilan daripada 1,704 cawangan yang layak menghadiri persidangan itu akan membuat keputusan mengenai usul berkenaan menerusi undi.

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved