Guan Eng persoal PH Pulau Pinang berdiam diri terhadap serangan UMNO

LocalPolitics
14 Aug 2026 • 3:43 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Guan Eng persoal PH Pulau Pinang berdiam diri terhadap serangan UMNO
Lim Guan Eng

GEORGE TOWN – Kepimpinan politik Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang didapati gagal bertindak tegas dan terus berdiam diri terhadap serangan tidak berasas UMNO Pulau Pinang yang mendakwa DAP dan PKR mengamalkan politik identiti dengan hanya memberi tumpuan kepada satu kaum.

Penasihat DAP, Lim Guan Eng berkata, Pengerusi PH Pulau Pinang, Chow Kon Yeow juga keliru apabila menganggap tiada bantahan terhadap keputusan PH Pulau Pinang untuk bekerjasama dan menerima peranan UMNO dalam kerajaan negeri hanya kerana perkara itu tidak dibangkitkan dalam pertemuan perwakilan DAP Pulau Pinang pada malam Rabu lalu.

“Minggu lalu, saya telah mempersoalkan mengapa kepimpinan politik PH Pulau Pinang gagal bertindak tegas dan terus berdiam diri terhadap serangan tidak berasas UMNO Pulau Pinang yang mendakwa bahawa DAP dan PKR mengamalkan politik identiti dengan hanya memberi tumpuan kepada satu kaum,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Pada Khamis, Kon Yeow menegaskan PH Pulau Pinang kekal dengan pendirian untuk menerima kerjasama Barisan Nasional (BN) dan UMNO dalam pentadbiran Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Kon Yeow berkata, keputusan berkenaan juga tidak dipersoalkan dalam pertemuan perwakilan DAP Pulau Pinang yang diadakan pada Rabu.

Kon Yeow turut berkata, Guan Eng boleh membangkitkan isu tersebut namun pendirian PH Pulau Pinang tetap tidak akan berubah.

Dalam pada itu, menurut Guan Eng, beliau mahupun mana-mana perwakilan DAP tidak membangkitkan keputusan PH Pulau Pinang itu dalam mesyuarat berkenaan kerana agenda tunggal pertemuan adalah membincangkan sama ada DAP patut keluar atau kekal dalam Kerajaan Persekutuan.

Katanya, isu mengenai peranan UMNO dalam kerajaan negeri Pulau Pinang bukan agenda pertemuan tersebut.

“Dalam kalangan pemimpin Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) yang hadir, hanya Anthony Loke yang berucap dan menjelaskan situasi semasa serta menjawab pertanyaan para perwakilan mengenai kebaikan dan keburukan untuk kekal dalam Kerajaan Persekutuan.

“Kon Yeow mahupun mana-mana pemimpin CEC kebangsaan yang lain tidak berucap kepada para perwakilan,” ujarnya.

Tambah bekas Setiausaha Agung DAP itu,, sebagai pemimpin veteran dalam CEC, Kon Yeow tidak sepatutnya membincangkan butiran dalaman mesyuarat parti yang diadakan secara tertutup.

“Kon Yeow harus jelas bahawa prerogatif untuk memberikan ulasan mengenai mesyuarat tertutup parti tersebut terletak sepenuhnya pada Setiausaha Agung DAP,” katanya.

Dalam pada itu, Guan Eng berkata, Kon Yeow mempunyai hak untuk terus berpegang pada keputusannya untuk bekerjasama dengan UMNO walaupun UMNO memainkan peranan utama dalam menyebabkan kekalahan Anthony di kerusi Dewan Undangan Negeri Chennah dalam Pilihan Raya Negeri Negeri Sembilan.

Bagaimanapun, katanya, Kon Yeow tidak sepatutnya menganggap semua perwakilan DAP Pulau Pinang menyokong keputusannya hanya kerana tiada siapa membangkitkan perkara berkenaan dalam mesyuarat Rabu lalu.

“Para perwakilan DAP Pulau Pinang memberi tumpuan kepada persoalan sama ada untuk kekal atau keluar daripada Kerajaan Persekutuan di Putrajaya,” katanya.

Sehubungan itu, Guan Eng mencadangkan Kon Yeow memanggil satu lagi mesyuarat dalaman perwakilan DAP Pulau Pinang bagi membincangkan sokongan tanpa syarat kepimpinan politik PH Pulau Pinang terhadap peranan UMNO dalam kerajaan negeri.

"Langkah itu dapat mengukur pendirian sebenar para perwakilan DAP Pulau Pinang terhadap perkara berkenaan.

“Agendanya boleh memberi tumpuan kepada bagaimana pendekatan kepimpinan politik PH Pulau Pinang ini dapat menyampaikan mesej kepada para pengundi kita bahawa kita tegas dalam mempertahankan maruah dan martabat kita sebagai kerajaan negeri Pulau Pinang dan sebagai pemimpin yang dipilih rakyat,” katanya.

Terdahulu, PH Pulau Pinang memutuskan untuk meneruskan kerjasama dengan BN dan UMNO dalam pentadbiran Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Keputusan itu diumumkan Kon Yeow selepas mempengerusikan mesyuarat PH negeri pada petang Sabtu.

Menurutnya, kesepakatan itu termasuk mengekalkan Exco BN iaitu Datuk Rashidi Zinol yang memegang portfolio Pembangunan Luar Bandar, Agroteknologi, Keterjaminan Makanan dan Keusahawanan dalam pentadbiran Kerajaan Pulau Pinang selaras dengan persefahaman kerjasama atau 'electoral pact' yang terjalin ketika pilihan raya negeri (PRN) 2023.

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved