
Kota Kinabalu: DAP Sabah akan mengadakan mesyuarat Majlis Tertinggi hujung minggu ini bagi memuktamadkan segala persiapan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
“Kami akan membuat beberapa keputusan dan persiapan,” kata Pengerusi DAP Sabah, Datuk Phoong Jin Zhe, ketika ditemui selepas pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.
Phoong meminta media supaya bersabar berhubung beberapa persoalan yang masih belum dijawab, sambil memberi jaminan akan mengadakan sidang media dalam masa terdekat bagi menjelaskan semua perkara berbangkit.
Mengulangi kenyataan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, beliau berkata DAP Sabah menyasarkan untuk bertanding enam hingga lapan kerusi pada PRN kali ini, termasuk kerusi yang kini disandang.
“Bagi Pakatan Harapan (PH) Sabah, kami akan bincangkan kemudian,” katanya, menambah beliau telah berhubung dengan Pengerusi PH Sabah, Datuk Ewon Benedick.
“Kami telah berbincang dan berharap akan mengadakan mesyuarat dalam masa terdekat,” katanya.
Mengenai logo parti yang akan digunakan dalam PRN, Phoong berkata perkara itu akan diputuskan dalam mesyuarat jawatankuasa akan datang dan media akan dimaklumkan selepas itu.
Beliau turut menyeru rakyat Sabah agar meraikan proses demokrasi menjelang pilihan raya.
“Hari ini adalah satu proses demokratik yang selaras dengan perlembagaan negara kita.
“Marilah kita semua, tanpa mengira bangsa, etnik, agama dan latar belakang, meraikan demokrasi bersama kerana ini adalah proses penting bagi setiap warganegara untuk membuat pilihan. Inilah keindahan sistem dan institusi demokrasi kita.
“Apa jua pilihan yang dibuat nanti adalah kemenangan untuk semua rakyat. Ia kemenangan untuk proses dan institusi kita, dan kita berdoa yang terbaik untuk masa depan negeri kita,” katanya.
Untuk rekod, DAP bertanding tujuh kerusi dan memenangi enam pada Pilihan Raya Negeri ke-16, iaitu di Sri Tanjong, Elopura, Tanjong Papat, Kapayan, Luyang dan Likas.
Namun, parti itu kehilangan dua kerusi selepas wakil rakyat Elopura dan Sri Tanjong keluar parti dan menyertai Parti Warisan pada 2022.

