DUN Sabah Bubar, Hajiji Yakin Pengundi Bijak Memilih Untuk PRN-17 

LocalPolitics
6 Oct 2025 • 4:22 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Hajiji Noor tersenyum pada pengumuman pembubaran DUN Sabah hari ini - Gambar Jason Santos

KUALA LUMPUR - Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dibubarkan secara rasmi hari ini, bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang ke-17.

Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Noor berkata, pembubaran tersebut telah menerima perkenan Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman.

Menurut beliau, keputusan berkenaan adalah hasil perbincangan mendalam bersama rakan Kabinet dan parti komponen. 

“Kami percaya sudah tiba masanya untuk mengembalikan mandat kepada rakyat.

“Rakyat Sabah berhak mendapat sebuah kerajaan yang stabil, bersatu dan berdaya saing,” katanya pada pengumuman di Menara Kinabalu, Kota Kinabalu hari ini.

Serentak pengumuman, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mempunyai tempoh sehingga 60 hari untuk menentukan tarikh penamaan calon dan hari pengundian.

Jelas Hajiji, beliau yakin pengundi akan memilih kesinambungan dan kemajuan berterusan bagi negeri itu.

Mengulas lanjut beliau berkata, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sejak lima tahun lalu telah bekerja dengan gigih untuk membawa perubahan dan pertumbuhan yang bermakna kepada negeri dan rakyatnya. 

“Melalui Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya yang holistik dan inklusif, kami telah menetapkan Sabah pada landasan transformasi yang jelas sejak menerajui negeri ini pada pada September 2020. 

“Berpandukan tiga tonggak utama; Pertama, Pertanian, Industri dan Pelancongan, kedua, Modal Insan dan Kesejahteraan Rakyat, dan ketiga, Jaringan Infrastruktur dan Kelestarian Hijau, pelan hala tuju ini telah mencapai kemajuan yang sebenar,” katanya.

Hajiji memberitahu, GRS juga telah mengambil langkah berani dan bertanggungjawab untuk menangani isu lama yang diwarisi, khususnya berkaitan bekalan air dan elektrik serta infrastruktur kritikal. 

Beliau menarik perhatian, tindakan konkrit dan beberapa projek besar sedang dijalankan untuk menyelesaikan cabaran tersebut yang telah membebankan rakyat sejak sekian lama. 

“Beberapa inisiatif telah disiapkan, sementara sebahagian yang lain sedang berjalan untuk disiapkan.

“Dalam tempoh ini, Sabah telah mengukuhkan ekonominya, menarik pelaburan baharu untuk mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan, meluaskan bantuan pendidikan dan meningkatkan kesejahteraan sosial semua lapisan masyarakat,” katanya. 

Pencapaian ini tambah Hajiji, adalah hasil kepercayaan, sokongan dan visi bersama rakyat untuk Sabah yang lebih baik.

“Namun, kerja kita belum selesai. Cabaran baharu menuntut penyelesaian yang berani, dan kita bersedia membawa Sabah ke lembaran seterusnya. 

“Dengan pembubaran ini, kami memohon mandat baharu daripada rakyat untuk meneruskan usaha yang telah kami mulakan iaitu membina Sabah yang lebih kukuh, lebih makmur dan bersatu untuk semua,” katanya. - Getaran, 6 Oktober 2025