SHAH ALAM – Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Isham Jalil, menyelar kenyataan Ahli Parlimen Kampar daripada DAP, Chong Zhemin, berhubung cadangan berkaitan subsidi bahan api.
Dalam hantaran di Facebook pada Isnin, Isham mendakwa DAP tidak melihat beban yang ditanggung rakyat, susulan pandangan Zhemin yang menyatakan bahawa penggunaan keuntungan Petronas untuk memperluaskan subsidi bahan api hanya akan membebankan kewangan negara.
“Inilah dia DAP Mantap. Beban rakyat dia tak nampak,” ujarnya menerusi hantaran itu.
Terdahulu, Zhemin berpandangan Malaysia wajar mencontohi Norway dengan menyimpan dan melaburkan hasil minyak di peringkat global bagi membolehkan pengumpulan kekayaan jangka panjang serta memastikan kestabilan fiskal.
Mengulas lanjut, Isham turut mempersoalkan sama ada pengundi Cina akan terus menyokong DAP, selain mendakwa pengundi Melayu yang sebelum ini mengundi parti berkenaan kini hanya “tinggal UMDAP sahaja”.
“Pengundi Cina nak undi lagi atau tidak? Pengundi Melayu yang undi dia ini tinggal UMDAP saja,” ujarnya.
