
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Semalam (17 Mac), kecoh di media sosial tindakan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), M Kulasegaran yang telah hadir ke Mahkamah Majistret Jawi untuk bertemu aktivis, Arun Dorasamy.
Arun hadir ke mahkamah kerana didakwa atas tuduhan membuat kenyataan yang boleh mendatangkan khianat awam.
Tindakan Kulasegaran yang juga Ahli Parlimen Ipoh Barat itu nyata mendapat perhatian ramai termasuklah beberapa pemimpin dalam kerajaan Madani seperti UMNO, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Amanah yang menyelar tindakannya itu.
Namun, Kulasegaran menjelaskan kononnya dia hanya bertemu Arun secara ringkas di luar mahkamah untuk memberi kata-kata semangat kepada aktivis terbabit agar percaya dengan proses perundangan yang dihadapi.
Baca Artikel Berkaitan: Dilihat Iringi Arun Dorasamy Di Mahkamah, UMNO Serta AMK & Pemuda Amanah Selar Kulasegaran
DAP Tidak Setuju Dengan Tindakan Kulasegaran
Terbaharu, DAP dalam satu kenyataan menjelaskan mereka tidak bersetuju dengan tindakan pemimpin veteran parti itu.
Kenyataan terbabit dikeluarkan oleh tiga Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat DAP, Sheikh Umar Bagharib Ali, Young Syefura Othman dan Syahredzan Johan serta Ahli Parlimen Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid.
Keempat-empat pemimpin Melayu DAP itu mengakui tindakan Kulasegaran mencetuskan polemik awam khususnya melibatkan integriti sistem perundangan negara, lapor Harian Metro.
“Kami sama sekali tidak bersetuju dengan kehadiran Kulasegaran bertemu Arun ketika aktivis terbabit didakwa di mahkamah, terutama apabila beliau sedang menggalas kapasiti sebagai seorang Timbalan Menteri Kerajaan MADANI.
“Kami ambil maklum mengenai penjelasan Kulasegaran berhubung isu ini, namun kedudukan beliau dalam kerajaan menuntut tahap kepekaan lebih tinggi terhadap persepsi awam.
“Ini terutama berkaitan prinsip keadilan bukan sahaja perlu dilaksanakan, tetapi juga perlu dilihat dilaksanakan,” kata mereka.
Tiada Keputusan Rasmi Sokong Kes Melibatkan Arun Dorasamy
Tambah mereka lagi, parti itu tidak pernah membuat keputusan rasmi untuk memberi sokongan mahupun cenderung dengan kes melibatkan Arun.
Tegas mereka, sebarang tindakan solidariti terhadap individu terbabit tidak mewakili parti itu.
“DAP perlu mengambil pendekatan seimbang dengan mempertahankan prinsip keadilan, termasuk konsep ‘tidak bersalah hingga dibuktikan sebaliknya’, sambil menghormati proses undang-undang.
“Selain itu, mengelakkan sebarang tindakan boleh menimbulkan persepsi campur tangan atau berat sebelah,” katanya.
Sebelum ini, peguam yang mewakili pendakwah Zamri Vinoth, Muhammad Hariz Md Yusof mempersoalkan layanan berbeza yang diterima anak guamnya berbanding Arun yang tidak digari dan tiada pengiring polis.
Malah, kelibat Kulasegaran yang ada bersama Arun bukan sahaja menimbulkan tanda tanya Hariz serta mencetuskan kemarahan rakyat Malaysia.
Zamri dan Arun didakwa ke mahkamah berasingan atas pertuduhan yang sama.
Baca Artikel Berkaitan: Zamri Vinoth Mengaku Tidak Bersalah Keluar Kenyataan Cetus Kegentaran Awam
Baca Artikel Berkaitan: Peguam Dedah Zamri Vinoth Tidak Lari, Pergi Ke Thailand Atas Urusan Perniagaan
