Zamri Vinoth, Arun Dorasamy Masing-Masing Mengaku Tidak Bersalah

LocalPolitics
17 Mar 2026 • 11:09 AM MYT
Borak Daily
Borak Daily

Curious & progressive. Bringing you the latest lifestyle & entertainment news

Pendakwah bebas Zamri Vinoth, 41, dan aktivis Arun Dorasamy, 56, masing-masing menghadapi pertuduhan berasingan berkaitan kenyataan yang didakwa boleh mencetuskan kegentaran awam, lapor Malaysiakini.

Zamri dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pagi tadi, didakwa mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan atas hantaran Facebook yang dibuat pada 3 Februari lalu mengenai satu perhimpunan melibatkan “kuil haram”.

image is not available

Foto: Harian Metro

Seksyen tersebut memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun, denda, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Dia yang hadir memakai kot biru dan seluar hitam, dilaporkan kelihatan tenang ketika pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Faezahnoor Hassan, dan memohon dibicarakan.

Sementara itu, Arun menghadapi pertuduhan serupa di Mahkamah Majistret Jawi, Nibong Tebal, berhubung kenyataan yang didakwa bertujuan menimbulkan kegentaran awam.

image is not available

Foto: Bernama

Dia diwakili oleh peguam T Gunaseelan, Balwant Singh Purba dan Dickson Eng.

Arun dibenarkan diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin, jumlah yang dicadangkan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nazran Sham dan Airina Syazreen Zainurin.

Majistret Nurul Ainna Ahmad menetapkan 22 Jun ini sebagai tarikh penyerahan dokumen kes.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), M Kulasegaran, turut dilaporkan berada di kompleks mahkamah Pulau Pinang semasa prosiding berlangsung.

Sumber: Malaysiakini

The post Zamri Vinoth, Arun Dorasamy Masing-Masing Mengaku Tidak Bersalah appeared first on Borak Daily.