
KUALA LUMPUR – Kegembiraan seorang pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bertukar menjadi detik penuh pilu apabila kejayaan yang diraih tidak dapat dikongsi bersama insan tersayang.
Seorang pelajar dikenali sebagai Arissa berjaya memperoleh keputusan cemerlang 8A dalam peperiksaan SPM. Namun, di sebalik kejayaan itu, terselit kisah duka yang menyentuh hati ramai.
Menerusi satu perkongsian tular di Threads oleh Jamilahbtismail.Ilah, dimaklumkan bahawa ibu Arissa telah meninggal dunia akibat kanser, hanya tiga hari sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini.
Lebih memilukan, arwah ibunya tidak sempat melihat sendiri keputusan cemerlang yang diraih oleh anaknya itu.
“Tahniah Arissa!! Ujian emak meninggal 3 hari sebelum raya… Tidak sempat mak tengok result SPM kakak,” tulisnya dalam hantaran tersebut.
Tangisan Jadi Detik Paling Menyentuh Hati
Dalam video yang dikongsikan, Arissa dilihat tidak dapat menahan sebak ketika menerima keputusan, sebelum dipeluk oleh rakan-rakan serta ahli keluarga yang turut berada di sisi.
Wajahnya yang merah menahan tangis jelas menggambarkan perasaan bercampur baur, bangga dengan kejayaan diri, namun hiba kerana kehilangan ibu yang menjadi sumber kekuatan selama ini.
Perkongsian tersebut turut dibanjiri kata-kata sokongan daripada orang ramai yang tersentuh dengan situasi tersebut. Rata-rata meluahkan rasa bangga dengan pencapaian Arissa sambil mendoakan agar arwah ibunya ditempatkan dalam kalangan orang beriman.
Antara komen yang ditinggalkan termasuk menyatakan bahawa jika ibunya masih ada, pasti beliau amat berbangga dengan kejayaan tersebut. Malah, ada juga yang yakin Arissa akan membesar menjadi seorang wanita yang kuat dan berdikari, selain mendoakan agar kehidupannya sentiasa dipermudahkan serta masa depannya terus cerah
Kisah ini menjadi bukti bahawa di sebalik setiap kejayaan, ada pengorbanan dan ujian yang tidak terlihat. Buat Arissa, kejayaan 8A ini pastinya menjadi hadiah paling bermakna, walaupun insan yang paling ingin diraikan sudah tiada lagi di sisi. – The Malaysian Update
The post “Dapat 8A Tapi Tak Sempat Tunjuk Mak” — Tangisan Arissa Undang Sebak Netizen appeared first on The Malaysian Update.



