
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu
Setiap pasangan kekasih yang bakal mendirikan rumah tangga pastinya mahu meraikan hari bahagia bersama keluarga dan rakan tercinta.
Kebiasaannya, mereka akan meraikan hari bahagia dengan mengadakan kenduri atau walimatul urus dan menjemput ahli keluarga, sanak saudara serta rakan-rakan bagi meraikan detik bermakna itu.
Jika korang perasan, kebanyakan kenduri kahwin kebiasaannya akan diadakan pada musim cuti sekolah bagi memudahkan tetamu untuk hadir ke majlis tersebut.
Namun buat tetamu pula, keadaan sebegini kadangkala menyukarkan mereka untuk membuat keputusan. Manakan tidak, ada yang menerima lebih dari satu jemputan dalam satu masa.
Pernah tak korang berhadapan dengan situasi sebegini hingga keliru dan sukar untuk buat keputusan kenduri mana yang sepatutnya didahulukan?
Hukum Pergi Kenduri Kahwin Adalah Wajib
Memetik laman Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, majoriti ulama dalam mazhab Maliki, Syafie dan Hanbali menjelaskan hukum menghadiri dan memenuhi jemputan majlis perkahwinan adalah wajib.
“Ia berdasarkan hadis daripada Ibn Umar R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:
إِذَا دُعِيَ أَحَدُكُمْ إِلَى الْوَلِيمَةِ فَلْيَأْتِهَا
“Maksudnya: Apabila salah seorang kamu dijemput ke majlis perkahwinan (walimah), maka hadirlah ia.
“Riwayat Muslim (1053),” jelas mereka.
Utamakan Jemputan Kenduri Kahwin Dari Saudara Mara Berbanding Kenalan
Namun, jelas laman itu, jika seseorang mendapat jemputan lebih dari satu kenduri dalam satu masa maka hendaklah didahulukan hubungan kekeluargaan berbanding kenalan.
“Perlu dilihat pada yang lebih dekat dari segi hubungan kekeluargaan seperti adik beradik dan saudara mara yang dekat dengan kita, maka itu perlu lebih diutamakan untuk hadir berbanding kenalan biasa,” jelasnya.
Tetapi, kalau yang menjemput kenduri juga adalah ahli keluarga, bagaimana pula?
Terang Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, jika kesemua jemputan yang diterima adalah dari ahli keluarga atau saudara-mara, maka perlu didahulukan mereka yang lebih dekat.
“Jika kedua-dua walimah tersebut adalah jemputan daripada saudara mara, maka saudara mara yang paling dekat diutamakan.
“Ini berdasarkan konsep menyambung silaturrahim di samping menyahut jemputan saudara mara dan kaum kerabat. Ini juga akan menatijahkan banyak kelebihan antaranya kelebihan rezeki dan usia yang panjang,” jelas mereka.
Perkara sama turut dijelaskan oleh pendakwah dan penceramah bebas, Ustaz Azhar Idrus (UAI) dalam satu hantaran di Instagram miliknya.
Jelas UAI, jika ramai yang menjemput untuk hadir ke kenduri, maka seseorang itu perlu mendahulukan orang yang menjemputnya terlebih dahulu.
Namun, sekiranya ia adalah jemputan dari saudara mara, maka hukumnya terpakai sama seperti yang dijelaskan oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.
