
KUALA LUMPUR – Seorang lelaki berbangsa Cina mencuri perhatian warga maya selepas berkongsi pengalaman menderma darah sebanyak 28 kali, bukan untuk mengenal siapa penerimanya, tetapi demi menyelamatkan nyawa. Perkongsian ringkas itu kini tular dengan lebih 500,000 tontonan di Threads.
Menurut lelaki dikenali sebagai Vince, beliau mempunyai darah jenis AB+ Rh+ dan telah menderma sebanyak 450cc pada setiap sesi. Beliau turut mendedahkan Hospital Seberang Jaya pernah beberapa kali menghubunginya kerana darahnya sepadan dengan seorang kanak-kanak Melayu yang menghidap talasemia.
“Darah saya tidak pernah kenal Melayu, Cina atau India. Ia hanya untuk menyelamatkan nyawa. Kita saling membantu jika perlu. Saya anak Malaysia.”
Kata-kata itu menyentuh hati ramai pengguna media sosial sehingga menerima puluhan ribu tanda suka dan ribuan perkongsian.
KKM Turut Beri Penghargaan
Perkongsian Vince turut mendapat perhatian Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang meninggalkan komen rasmi bagi menghargai beliau serta semua penderma darah di negara ini.
Menurut KKM, kisah tersebut mengingatkan masyarakat bahawa darah tidak pernah mengenal kaum, agama atau latar belakang, sebaliknya setiap titisan darah mampu menjadi harapan dan penyelamat kepada mereka yang memerlukan.
Ruangan Komen Dipenuhi Kisah Menyentuh Hati
Lebih menyentuh perasaan apabila ramai pengguna Threads turut berkongsi pengalaman masing-masing di ruangan komen.
Seorang pengguna memaklumkan beliau sudah menderma darah sebanyak 101 kali dan akan meneruskan misi itu buat kali ke-102 tidak lama lagi.
Seorang lagi menceritakan bagaimana beliau pernah menerima dua beg darah akibat anemia yang serius sehingga bacaan hemoglobin (HB) hanya 4.8. Kini, selepas pulih, beliau akhirnya berjaya menjadi penderma darah buat kali pertama sebagai tanda membalas jasa insan yang pernah menyelamatkan nyawanya.
Tidak kurang juga seorang ibu yang berkongsi bahawa anak istimewanya beberapa kali menerima transfusi darah, sambil mengucapkan terima kasih kepada semua penderma kerana memberi peluang kepada anaknya untuk terus hidup.
Kemanusiaan Lebih Besar Daripada Perbezaan
Walaupun terdapat segelintir komen yang cuba mengaitkan isu perkauman, majoriti warga maya memilih untuk menumpukan kepada mesej utama yang dibawa Vince iaitu nilai kemanusiaan.
Ramai menyifatkan tindakannya sebagai contoh terbaik bahawa ketika nyawa menjadi pertaruhan, darah tidak mengenal bangsa, agama mahupun warna kulit. Apa yang benar-benar penting ialah keikhlasan untuk membantu mereka yang memerlukan. – The Malaysian Update
The post “Darah Saya Tak Kenal Melayu, Cina Atau India” – Luahan Penderma Darah Berbangsa Cina Ini Buat Ramai Tersentuh appeared first on The Malaysian Update.



