
Dari Detik Hitam Ke Puncak Anugerah: Siti Nur Ahmad Ubah Stesen Petronas Jadi Pusat Sehenti
Setiap orang pasti melalui fasa penting apabila dilanda dilema dalam menentukan hala tuju hidup selepas menggenggam segulung ijazah. Ada yang memilih untuk mencuba nasib di bandar, ada pula yang tidak sabar mahu membina kerjaya sendiri mengikut minat dan impian.
Namun, tidak kurang juga yang memilih untuk memikul amanah keluarga dengan meneruskan legasi yang telah dibina sekian lama. Dalam situasi begini, cabaran untuk membuktikan kemampuan diri sering kali menjadi beban yang berat di bahu pewaris.
Begitulah kisah wanita cekal bernama Siti Nur Ahmad, pemilik Stesen Petronas Pendang, yang bukan sekadar mewarisi perniagaan keluarga, tetapi turut mencipta kejayaan tersendiri sejak usia muda.
Langkah pertama selepas graduasi
Mula beroperasi sekitar tahun 1986, stesen Petronas Pendang merupakan legasi tinggalan bapanya yang kemudian diambil alih oleh wanita berkenaan pada tahun 2010.
Menurut Siti, beliau memulakan langkah pertamanya dalam bidang pengurusan stesen minyak sejurus selepas menamatkan pengajiannya di peringkat universiti pada tahun berkenaan.
Segalanya berjalan lancar mengikut perancangan keluarga sehinggalah detik hitam menyelubungi hidupnya sehari sebelum tarikh pernikahannya.
Hidup Siti dirundung mendung apabila ibunya menghembuskan nafas terakhir. Hari bahagia yang dinanti terasa begitu kosong, tiada ruang buat keraian.
Tidak sempat sembuh luka di hati, dia terpaksa mengambil alih pengurusan stesen minyak berkenaan bagi memastikan perniagaan tetap berjalan.
Pemergian ibunya tidak hanya meragut detik bahagia yang dinanti, malah turut diiringi khabar angin tidak enak yang meragui kebolehan wanita berkenaan dalam meneruskan perniagaan yang diwarisinya.
“Kata-kata itu menjadi push factor bagi saya. Saya rasa macam… saya boleh buat. Saya akan buktikan dekat orang yang saya memang boleh buat,” luah Siti.

Bangkit dengan perancangan besar
Tercabar dengan ‘label’ yang diterima, iaitu sekadar pewaris perniagaan keluarga, Siti bangkit dengan pelbagai perancangan mengembangkan dan memajukan perniagaan sedia ada.
“Selepas saya graduasi, terus saya masuk dalam bidang stesen minyak. Sekarang saya berkembang kepada stesen minyak Petronas Darul Aman.
“Saya juga berkembang kepada (menjadi pembekal) LPG Petronas,” ujarnya penuh bangga.
Usahanya tidak hanya tertumpu kepada mengembangkan sayap perniagaan. Beliau turut berusaha memastikan stesen minyak Petronas Pendang menerima pengiktirafan yang selayaknya.
Pelbagai anugerah dan pengiktirafan diraih tahun demi tahun sehingga berjaya menandingi nama-nama gergasi dalam dunia perniagaan.
Antara pencapaian membanggakan ialah memenangi Anugerah Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara 2020 & 2021.

“Sekarang saya buktikan boleh kembangkan dari satu stesen minyak, saya buat lebih dari itu,” tambah beliau.
Dalam mengenang kembali perjalanan yang dilalui, Siti sempat menitipkan pesan buat mereka yang sedang melalui cabaran hidup.
“Bila orang kata kat kita perkara negatif, jangan putus asa. Ambil tu sebagai push factor. Buktikan kita bukan macam tu, akan buat yang terbaik,” pesannya.
Sokongan pasukan jadi tulang belakang
Siti turut mengakui bahawa kejayaannya bukanlah hasil usaha bersendirian, sebaliknya didokong oleh pasukan yang komited dan sepakat dalam menjayakan setiap perancangan.
“Alhamdulillah saya sangat berbangga kerana mendapat pasukan yang memberi begitu banyak sokongan kepada saya.
“Mereka memberikan kerjasama yang tinggi buat saya. Salah satunya perkara yang memberi kejayaan buat saya adalah dengan adanya kerjasama berpasukan,” luah Siti.
Petronas Pendang sebagai Pusat Sehenti
Dalam usahanya mengekalkan relevansi perniagaan, Siti memperkenalkan strategi menjadikan stesen minyak tersebut sebagai pusat sehenti (one-stop center).

“Kita buat Petronas Pendang sebagai one stop center. Bila orang isi minyak, kita nak tarik pelanggan yang dah datang tu masuk dalam kedai kita.
“Barang-barang basah kita ada ayam, ikan, sayur, termasuk pelbagai barang runcit,” jelasnya lanjut.
Selain memikirkan strategi semasa, Siti turut merancang masa depan perniagaan dalam menghadapi perubahan industri.
“10 tahun akan datang, saya juga akan pastikan perniagaan saya kekal relevan. Sekiranya minyak tidak lagi mendapat sambutan memandangkan negara mula beralih arah kepada EV, kita akan berkembang kepada teknologi yang ada ketika itu,” tambahnya.
Bukan sekadar mengekalkan perniagaan, Siti turut memasang impian besar, iaitu memastikan taraf pemberian gaji kepada pekerjanya setaraf dengan mereka yang bekerja di bangunan ikonik seperti KLCC.
Semangat juangnya bukan hanya untuk diri sendiri, tetapi juga demi masa depan pekerja dan warisan yang dibina dengan susah payah.
The post Dari Detik Hitam Ke Puncak Anugerah: Siti Nur Ahmad Ubah Stesen Petronas Jadi Pusat Sehenti appeared first on Siakap Keli.



