Dari fenomena Tsumawi ke Pawana Pawaka, Mawi terus mewarnai industri muzik selepas dua dekad

EntertainmentMusic
16 Nov 2026 • 5:55 PM MYT
SinarPlus
SinarPlus

SinarPlus is a portal based on News, Current Affairs and Lifestyle content

Image from: Dari fenomena Tsumawi ke Pawana Pawaka, Mawi terus mewarnai industri muzik selepas dua dekad

LEBIH dua dekad mencipta fenomena menerusi Akademi Fantasia musim ketiga (AF3), perjalanan seni Mawi masih belum sampai ke penghujungnya.

Daripada gelombang Tsumawi yang pernah mencetuskan fenomena tersendiri, penyanyi itu kini kembali menyapa peminat dengan karya terbaharu berjudul Pawana Pawaka.

Nama Asmawi Ani atau lebih mesra disapa Mawi mula mencuri perhatian selepas menjuarai AF3 pada 2005. Popularitinya ketika itu begitu luar biasa sehingga melahirkan fenomena Tsumawi, manakala tagline Mawi World pula menjadi identiti yang cukup sinonim dengan dirinya.

Sepanjang bergelar anak seni, Mawi tidak hanya bergantung pada populariti yang diraih menerusi program realiti televisyen tersebut. Sebaliknya, dia terus mengisi perjalanan muziknya dengan pelbagai karya yang memperlihatkan sisi berbeza sebagai penyanyi.

Antara lagu yang pernah mencuri perhatian termasuk Aduh Saliha, Lagu Jiwa Lagu Cinta dan Kian. Malah, Lagu Jiwa Lagu Cinta yang mempertemukannya dengan Datuk M Nasir menjadi antara kolaborasi penting dalam kerjaya seninya.

Mawi turut menghasilkan karya bersama beberapa nama besar lain seperti KRU menerusi Sujud, kumpulan Raihan menerusi Iqra', Yasin Sulaiman menerusi Ya Salaam, Heliza menerusi Doa Dalam Lagu dan Diana Danielle menerusi Penyembuh Rindu.

Keistimewaan perjalanan muziknya turut terserlah menerusi album Idolaku yang diterbitkan pada 2010. Album berkenaan menghimpunkan 12 lagu duet bersama penyanyi yang menjadi idolanya, antaranya Datuk Jamal Abdillah, Ramli Sarip, Hattan, Zamani dan Fauziah Ahmad Daud.

Di sebalik lagu-lagu komersial, Mawi juga tidak pernah mengetepikan karya berunsur kerohanian. Antara yang pernah dihasilkan termasuk Allah Habeebi Al-Jannah, Serulah NamaNya, Asmaulhusna terbitan Sheikh Qalam serta Al-Haq Yang Satu yang dicipta dan ditulis sepenuhnya oleh Sheikh Qalam.

Bakatnya dalam penciptaan lagu turut diperlihatkan menerusi Al Nuraa Yang 5 Yang 6, hasil kerjasama bersama Sheikh Qalam dan Daly Filsuf.

Image from: Dari fenomena Tsumawi ke Pawana Pawaka, Mawi terus mewarnai industri muzik selepas dua dekad

Menghidupkan kembali nostalgia

Selain itu, Mawi pernah bekerjasama dengan Syamsul Yusof menerusi Kalah Dalam Menang, Bukan Propaganda dan Menangislah. Dia juga menghasilkan beberapa karya lain termasuk Marilah Johena, Indah Bersama dan Syair Buat Syuhada.

Selepas melalui pelbagai fasa dalam industri hiburan, kemunculan Mawi menerusi program GV Fantasia turut menghidupkan kembali nostalgia peminat terhadap perjalanan seninya yang bermula daripada AF3. Pada masa sama, penampilannya memberi peluang kepada peminat melihat perkembangan dan kematangan persembahannya selepas sekian lama.

Mawi juga baru sahaja mengadakan konsert solo The Journey Of Mawi World di Mega Star Arena, Kuala Lumpur pada 8 November lalu sebagai tanda penghargaan kepada peminat yang setia mengikuti perjalanan seninya.

Konsert berkenaan turut diserikan dengan kemunculan artis jemputan seperti Akhil Hayy, Daly Filsuf, Felix Agus, Datuk AC Mizal dan Datuk Aznil Nawawi.

Menariknya, penganjuran konsert itu berlangsung ketika Mawi turut mempunyai komitmen menyertai GV Fantasia. Namun, kedua-dua perancangan tersebut tetap diteruskan seperti dijadualkan.

Terbaharu, Mawi meneruskan langkah dalam dunia muzik menerusi Pawana Pawaka, sebuah karya yang menemukan namanya dengan tenaga kreatif dari Sabah melalui kerjasama AJ Productions Sdn Bhd dan Sheikh Qalam Records Sdn Bhd.

Lagu ciptaan Jasnie Mohd Yaakub dengan lirik nukilan Kamarudin Hasim itu diterbitkan bersama kedua-dua syarikat berkenaan, manakala pengedarannya dikendalikan AJ Productions.

Pengarah Urusan AJ Productions, Puan Asmi Datuk Andi Yakin berkata, kerjasama tersebut cukup bermakna kerana menjadi pengalaman pertama syarikat itu menerbitkan karya untuk Mawi.

Image from: Dari fenomena Tsumawi ke Pawana Pawaka, Mawi terus mewarnai industri muzik selepas dua dekad

"Kolaborasi ini sekali gus membuka ruang kepada bakat kreatif Sabah menembusi pasaran muzik tanah air.

"Ia menjadi satu pencapaian penting dalam usaha AJ Productions memperluas penglibatan di pentas muzik nasional serta membuka ruang pertemuan antara bakat kreatif Sabah dengan nama besar industri hiburan Malaysia," katanya.

Pawana Pawaka dirakam sepenuhnya dengan penglibatan barisan pemuzik berpengalaman dalam industri muzik Malaysia. Gabungan tenaga kreatif dari Sabah dan pemuzik tempatan itu turut memberikan warna tersendiri kepada penghasilan lagu berkenaan.

Video muzik Pawana Pawaka yang dimuat naik menerusi saluran YouTube AJ Productions Sdn Bhd sejak 8 November lalu pula sudah meraih kira-kira 70,000 tontonan.

Bagi peminat yang mengikuti perjalanan Mawi sejak zaman AF3, kemunculan karya baharu ini pastinya membawa makna tersendiri. Dua dekad mungkin sudah berlalu, namun Mawi World masih mempunyai ruang untuk terus berkarya dan mencipta kenangan baharu dalam industri muzik tanah air.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved