
KUALA LUMPUR: Selepas lebih dua dekad mencipta fenomena menerusi Akademi Fantasia musim ketiga (AF3), nama Mawi terus mempunyai tempat tersendiri dalam industri hiburan tanah air apabila kembali dengan single terbaharu berjudul Pawana Pawaka.
Penyanyi dengan nana sebenar, Asmawi Ani itu pernah mencetuskan fenomena luar biasa menerusi AF3 pada 2005 sehingga melahirkan gelombang Tsumawi, sekali gus menjadikan tagline Mawi World sebagai jenama yang cukup sinonim dengan dirinya.
Populariti luar biasa ketika itu menyaksikan setiap kemunculannya mendapat perhatian, manakala lagu dendangannya seperti Aduh Saliha, Lagu Jiwa Lagu Cinta dan Kian menjadi antara karya yang mengukuhkan kedudukannya dalam industri muzik.
Malah, lagu Lagu Jiwa Lagu Cinta yang menampilkan gandingan Mawi bersama Datuk M Nasir menjadi antara kolaborasi penting dalam perjalanan seninya, selain Sujud bersama KRU dan Iqra’ bersama kumpulan Raihan.
Mawi turut memperluaskan kerjasama menerusi lagu Ya Salaam bersama Yasin Sulaiman, Doa Dalam Lagu bersama Heliza serta Penyembuh Rindu bersama Diana Danielle.
Album Idolaku yang diterbitkan pada 2010 juga menjadi antara projek istimewa apabila menghimpunkan 12 lagu duet bersama penyanyi yang menjadi idolanya, termasuk Datuk Jamal Abdillah, Ramli Sarip, Hattan, Zamani dan Fauziah Ahmad Daud.
Selain karya komersial, Mawi turut aktif menghasilkan lagu berunsur kerohanian seperti Allah Habeebi Al-Jannah, Serulah NamaNya dan
Asmaulhusna terbitan Sheikh Qalam serta Al-Haq Yang Satu
ciptaan dan lirik sepenuhnya Sheikh Qalam.
Mawi juga menunjukkan bakat besar dalam penciptaan lagu apabila menghasilkan lagu dan lirik Al Nuraa Yang 5 Yang 6, bersama Sheikh Qalam dan Daly Filsuf yang memperlihatkan kepelbagaian pilihan muziknya.
Dia juga pernah bekerjasama dengan Syamsul Yusof menerusi lagu Kalah Dalam Menang, Bukan Propaganda dan Menangislah, selain menghasilkan karya seperti Marilah Johena, Indah Bersama dan Syair Buat Syuhada.
Terbaharu, kemunculannya menerusi program GV Fantasia mengembalikan nostalgia perjalanan seni yang bermula daripada AF3, sekali gus membuka peluang kepada peminat menyaksikan kematangan vokal dan persembahannya selepas sekian lama.
Dalam perkembangan sama, Mawi turut mengadakan konsert solo The Journey Of Mawi World di Mega Star Arena, Kuala Lumpur pada 8 November lalu sebagai penghargaan kepada peminat yang terus menyokong perjalanan seninya.
Konsert itu turut menampilkan barisan artis jemputan termasuk Akhil Hayy, Daly Filsuf, Felix Agus, Datuk AC Mizal dan Datuk Aznil Nawawi.
Menariknya, konsert berkenaan berlangsung ketika Mawi turut mempunyai komitmen menyertai GV Fantasia. Bagaimanapun kedua-dua perancangan itu tetap diteruskan seperti dijadualkan.
Kini, nama yang cukup dikenali ini
membuka lembaran baharu menerusi Pawana Pawaka yang mempertemukannya dengan tenaga kreatif dari Sabah menerusi kerjasama AJ Productions Sdn Bhd dan Sheikh Qalam Records Sdn Bhd.
Lagu ciptaan Jasnie Mohd Yaakub dengan lirik nukilan Kamarudin Hasim itu diterbitkan bersama kedua-dua syarikat berkenaan, manakala urusan pengedaran dikendalikan AJ Productions.
Pengarah Urusan AJ Productions,
Puan Asmi Datuk Andi Yakin berkata, kerjasama itu cukup bermakna apabila menjadi pengalaman pertama AJ Productions menerbitkan karya untuk Mawi.
“Kolaborasi ini sekali gus membuka ruang kepada bakat kreatif Sabah menembusi pasaran muzik tanah air.
“Ia menjadi satu pencapaian penting dalam usaha AJ Productions memperluas penglibatan di pentas muzik nasional serta membuka ruang pertemuan antara bakat kreatif Sabah dengan nama besar industri hiburan Malaysia,” katanya.
Lagu ini dirakam sepenuhnya dengan penglibatan barisan pemuzik berpengalaman dalam industri muzik Malaysia.
Gandingan tenaga kreatif dan pemuzik yang terlibat menghasilkan kualiti lagu yang luarbiasa.
Video muzik Pawana Pawaka juga telah dimuat naik menerusi saluran YouTube AJ Productions Sdn Bhd sejak 8 November lalu.
The post Mawi kembali bergema dengan Pawana Pawaka, jalin kerjasama istimewa bersama label Sabah appeared first on Utusan Malaysia.






