Kejayaan Ariffin Abdul Manan, 60, menamatkan cabaran IRONMAN 70.3 Langkawi 2026 dengan hanya menggunakan kelengkapan sukan asas mendapat perhatian Kerajaan Pahang yang bersedia membantu atlet veteran berasal dari Jerantut itu.
Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Pahang, Datuk Fadzli Mohamad Kamal berkata, kerajaan negeri dengan persetujuan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, bersedia menyediakan bantuan kelengkapan sukan kepada Ariffin.
Menurutnya, kesungguhan Ariffin menyertai kejohanan sukan lasak itu dalam keadaan serba sederhana wajar diberikan perhatian, selain berpotensi menjadi inspirasi kepada golongan muda untuk mengamalkan gaya hidup aktif.
“Insya-Allah, sebab kita tengok dah jadi viral (tular) IRONMAN Langkawi 2026 penyertaan Pakcik Ariffin yang bersahaja dengan kelengkapan asas.
“Kerajaan Pahang dengan persetujuan Menteri Besar (Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail) sedia bantu kelengkapan sukan supaya beliau tidak dibiarkan bersendirian dan jadi ikon kepada anak muda.
“Dalam serba kekurangan, beliau masih boleh terbabit aktif dan berjaya menghabiskan kejohanan itu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Damak, Zuridan Mohd Daud pada Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang, hari ini.
Terdahulu, Zuridan mencadangkan supaya kerajaan negeri mengangkat Ariffin sebagai ikon Pahang selain mempertimbangkan pemberian insentif susulan kejayaannya yang mendapat perhatian masyarakat di seluruh negara.
Pada perlumbaan kelmarin, Ariffin berjaya melengkapkan cabaran IRONMAN 70.3 Langkawi 2026 dengan catatan masa tujuh jam 19 minit 57 saat.
Pencapaian itu membolehkannya menduduki tempat kesembilan daripada 14 peserta dalam kategori lelaki berusia 60 hingga 64 tahun.

Sepanjang kejohanan, Ariffin berjaya mengharungi tiga disiplin mencabar iaitu berenang sejauh 1.9 kilometer (km), berbasikal 90km dan berlari 21.1km, menjadikan keseluruhan jarak perlumbaan kira-kira 113km.
Menariknya, Ariffin yang pernah bekerja sebagai pemandu pelancong di Kuala Lumpur mula menjadikan aktiviti larian sebagai rutin ketika berusaha berhenti merokok kira-kira 20 tahun lalu.
Dia juga sebelum ini pernah berkongsi hasrat untuk menggunakan basikal lama yang dibeli daripada seorang sahabat warga Australia pada 2013 dengan harga RM3,500 bagi menyertai kejohanan tersebut.

Kejayaan Ariffin membuktikan bahawa usia dan keterbatasan kelengkapan bukan penghalang untuk terus aktif dalam sukan, sekali gus mendorong kerajaan negeri tampil memberikan sokongan terhadap penglibatannya dalam bidang berkenaan.
Sumber: BH Online (Asrol Awang)







