Dari Keningau ke Putrajaya, Pelajar KV Keningau Buktikan Bakat Nyanyian Luar Biasa Anak Borneo

8 Jul 2025 • 7:44 PM MYT
I Love Borneo
I Love Borneo

Laman infotainment, gaya hidup dan pelancongan di Borneo

Dari Kelas Bengkel Ke Pentas Juara, KV Keningau Kali Ini Pamer Bakat Nyanyian Luar Biasa

Dari Keningau ke Putrajaya, Pelajar KV Keningau Buktikan Bakat Nyanyian Luar Biasa Anak Borneo. Siapa kata pelajar kolej vokasional hanya tahu hal-hal teknikal dan kemahiran? Kalau anda masih berfikir macam tu, mungkin anda perlu kenali enam jejaka hebat dari Kolej Vokasional (KV) Keningau ini. Mereka bukan sahaja membuktikan bakat seni anak Borneo sangat luar biasa, malah pulang ke Sabah dengan gelaran juara berganda dari pentas Festival Seni Kolej Vokasional (FesKoV) Peringkat Kebangsaan 2025 di Putrajaya.

Pasukan KV Keningau sekali lagi telah mengharumkan nama sekolah dan Sabah apabila berjaya menjuarai dua kategori utama iaitu Nyanyian Solo Lelaki (KV Terukir di Bintang) dan Kugiran (KV Battle of the Band).

image is not available
Foto: KV Keningau

Siapa Suara Emas di Sebalik Kejayaan Ini?

Wira utama di sebalik kemenangan solo ini adalah Ikmal Rezza J. Padasian. Dengan vokal mantap dan penuh penghayatan, Ikmal berjaya menawan hati juri dengan persembahan lagu popular Hazami, “Ku Cinta Pada Mu”. Bukan itu sahaja, Ikmal turut dinobatkan sebagai penerima anugerah Vokal Terbaik.

Manakala, untuk kategori kugiran pula, band kebanggaan KV Keningau yang diberi nama unik, D’ Buvazoi, telah berjaya merangkul gelaran juara. Dengan gabungan lagu-lagu popular seperti “Beggin’”, “Gerhana Cinta Luka”, dan “Juwita”, persembahan mereka ternyata memukau dan meninggalkan kesan mendalam. D’ Buvazoi juga menerima anugerah khas dari penganjur, Bahagian Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (BPLTV) Kementerian Pendidikan Malaysia, sebagai tanda penghargaan atas persembahan cemerlang mereka.

Anggota D’ Buvazoi terdiri daripada enam jejaka berbakat besar iaitu Therrence Soan Roystand, Angelbert Lasung Smd Robert, David Benny Ujan Benyamin, Christoper Lajurus, Brandon Zachary David dan Ikmal Rezza sendiri. Kesemua mereka, di bawah bimbingan dan latihan gigih dua guru komited, Syuaib Samijan dan Bibiana Paulus telah membuktikan bahawa kerja keras dan semangat berpasukan pasti membuahkan hasil.

image is not available
Foto: KV Keningau

Baca juga: Pelajar KV Keningau Hasilkan Inovasi ‘Co Scrubber’, Penyental Kaki Dari Tongkol Jagung

Bukti Kolej Vokasional Lahirkan Insan Holistik

Pengarah KV Keningau, Encik Lumang anak Lang yang turut hadir sepanjang festival dan konsert pertandingan jelas tidak dapat menyembunyikan rasa bangganya. Beliau melahirkan rasa syukur dan gembira melihat pencapaian luar biasa anak-anak didiknya.

“Kejayaan ini adalah bukti jelas bahawa pendidikan di Kolej Vokasional tidak hanya tertumpu kepada pembangunan kemahiran teknikal dan vokasional semata-mata, tetapi juga sangat menekankan perkembangan bakat holistik pelajar,” kata Encik Lumang.

“Melalui aktiviti kesenian seperti nyanyian dan bermain muzik, selain sukan, inovasi, dan pertandingan kemahiran lain, kami berhasrat untuk melahirkan pelajar yang bukan sahaja cekap dalam bidang pilihan mereka, malah mempunyai personaliti yang seimbang dan bakat terpendam yang terserlah.”

Anak Borneo Sarat Dengan Bakat Seni yang Terpendam

Secara keseluruhan, pasukan KV Keningau membawa pulang trofi, sijil, dan wang tunai berjumlah RM 2,600. Tentunya ini adalah pencapaian yang akan menjadi pembakar semangat untuk terus menggilap bakat di masa hadapan.

Festival seni yang disempurnakan oleh Pengarah BPLTV sendiri, Ts. Zulkernai bin Fauzi, turut menyaksikan bakat-bakat lain dari seluruh negara.

KV Bintulu Sarawak pula muncul juara bagi kategori nyanyian solo wanita, manakala KV Kudat Sabah berjaya merangkul kemenangan dalam kategori nyanyian duet. Ini menunjukkan Borneo sememangnya sarat dengan bakat seni yang perlu dicungkil dan diberi peluang.

Kejayaan KV Keningau ini bukan sahaja satu kebanggaan untuk Sabah, tetapi juga satu inspirasi buat semua. Ia membuktikan bahawa dengan minat, usaha, dan sokongan padu, pelajar vokasional juga mampu menggegar pentas kebangsaan dan membuktikan bahawa mereka adalah insan yang serba boleh dan berbakat!

Apa pendapat anda tentang kejayaan KV Keningau ini? Kongsikan pandangan anda di ruangan komen.

Baca juga pencapaian luar biasa pelajar KV Keningau Sabah ini:

Pelajar KV Keningau Raih Perak Di INNOVEX 2025 Dengan Inovasi Miniatur Pencawang Elektrik
Pelajar KV Keningau Raih Geran USD 1000 Sebagai ASEAN LIVE Creators