
PETALING JAYA – Usaha sekumpulan penduduk bergotong-royong mencantikkan kawasan kediaman mereka di Flat Selayang Mulia mencuri perhatian selepas ruang yang dahulunya kelihatan suram berubah sehingga disamakan seperti ‘lobi hotel’.
Transformasi itu dikongsikan seorang pengguna Threads, @ilaalnk yang memuat naik beberapa gambar sebelum dan selepas kawasan berkenaan dihias.
Menerusi gambar dikongsikan, ruang berhampiran lif yang sebelum ini hanya berlantaikan simen dan berdinding biru kehijauan kini tampil lebih kemas dengan lantai bercorak marmar, panel dinding, pencahayaan serta hiasan bunga.
Menurut wanita itu, projek tersebut bukan dilakukan secara bersendirian, sebaliknya hasil kerjasama penduduk termasuk masyarakat Melayu, India dan Pakistan yang tinggal di aras sama.
“Jiran-jiran yang sporting! Melayu, India dan Pakistan. Bukan Malaysian dah ni, tapi international. Alhamdulillah level kami juara bulan ini.
“Ini pun idea dari pihak pengurusan, selain bertanding dapat eratkan lagi hubungan sesama jiran. Dari tak kenal jadi kenal,” katanya.
Menjawab pertanyaan pengguna media sosial mengenai kos projek tersebut, wanita itu berkata, setiap penduduk menyumbang sekitar RM50 hingga RM100 sebulan selain terdapat individu yang menaja wang dan barangan.
Menurutnya, keseluruhan kos dianggarkan antara RM2,000 hingga RM3,000 termasuk sumbangan penaja.
Malah, katanya, penduduk turut memasang kamera litar tertutup (CCTV) bagi memastikan kawasan yang sudah dicantikkan itu terus terpelihara dan tidak dirosakkan.
Perkongsian berkenaan turut mendapat perhatian Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan yang memuji semangat kerjasama penduduk.
“Alhamdulillah, terbaik! Teruskan semangat kerjasama, bantu membantu dan menjaga persekitaran kita. Contoh yang baik untuk kita semua, alhamdulillah!” katanya.
Dalam pada itu, seorang pengguna Threads berseloroh bahawa kawasan tersebut kini terlalu selesa sehingga suami mungkin tidak kisah jika disuruh tidur di luar rumah.
“Luar rumah pun macam lobi hotel dah, kipas TV semua ada,” tulisnya.
“Kalau macam inilah, rasa bersemangat nak balik rumah, nak bergambar cantik macam hotel,” komen pengguna lain pula. – KOSMO! ONLINE
The post Dari koridor flat ke ‘lobi hotel’, usaha penduduk Flat Selayang Mulia raih pujian appeared first on Kosmo Online.


