Dari Manusia Terkaya, Elon Kini Jadi Manusia Paling Rugi Dalam Sejarah Selepas ‘Hilang’ RM 881 Bilion

Business & Finance
3 Jan 2023 • 6:50 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

Dari Manusia Terkaya, Elon Kini Jadi Manusia Paling Rugi Dalam Sejarah Selepas ‘Hilang’ RM 881 Bilion

Elon Musk muncul sebagai manusia pertama dalam sejarah yang mencatatkan kerugian sebanyak USD 200 bilion (RM 881.20 bilion) dalam nilai kekayaan bersihnya sepanjang 2022 menurut Indeks Bilionaire Bloomberg, sekaligus menjadi Manusia Paling Rugi Dalam Sejarah.

Sebelum ini, Musk merupakan individu kedua selepas pengasas Amazon, Jeff Bezos yang berjaya mengumpul kekayaan melepasi angka USD 200 bilion, iaitu angka yang dicapainya pada Januari 2021.

Pada November tahun yang sama, nilai kekayaan Musk telah meningkat kepada USD 340 billion (RM1.5 trilion) sekaligus menobatkannya sebagai Manusia Terkaya Di Dunia dalam tempoh masa setahun sahaja.

Gelaran tersebut bagaimanapun hari ini telah dipintas oleh Bernard Arnault, iaitu CEO kepada rangkaian jenama mewah yang berpayung dibawah LVHM.

Namun perlu ditekankan disini, walaupun hilang takhta sebagai Manusia Terkaya Di Dunia dan digelar Manusia Paling Rugi Dalam Sejarah, Musk masih berada di posisi kedua Manusia Terkaya Di Dunia dengan nilai kekayaan bersih ketika ini berjumlah RM 603 bilion.

Apa yang menyebabkan nilai kekayaannya merosot?

Kekayaan Elon Musk telah merosot kepada USD 137 bilion (RM603.62 bilion) selepas saham Tesla mengalami penurunan dalam beberapa minggu kebelakangan. Ini termasuklah penurunan luar biasanya sebanyak 11 peratus nilai saham Tesla yang dicatatkan 27 Disember lalu.

Keadaan itu memaksa Tesla menawarkan diskaun pembelian sebanyak USD 7,500 (RM33,045) kepada penggunanya di Amerika Syarikat yang membeli salah satu daripada dua model kereta keluarannya sebelum tahun 2022 berakhir, sebagai salah satu usaha meningkatkan jualan.

Selain itu, syarikat itu juga turut mengurangkan kapasiti pengeluaran produknya yang dikilangkan di fasiliti di Shanghai, China.

Kebanyakkan kekayaan Musk bergantung kepada turun naik saham Tesla yang dimilikinya.

Kesan daripada pembelian Twitter

Penurunan nilai kekayaan beliau turut dikaitkan dengan keputusannya mengambil alih Twitter Inc. melibatkan kos sebanyak USD 44 bilion (RM 193.86 bilion) pada lewat Oktober tahun lepas.

Untuk menampung kos tersebut, Musk telah menjual pegangan saham pentingnya dalam Tesla dan menyebabkan syarikat pembuat kereta elektrik itu bukan lagi aset terbesarnya.

image is not available
Gambar hiasan | Kredit: Bernama

Kekayaan Musk yang merosot dan kenaikan kadar faedah

Musk sebelum ini turut berulang kali mengutarakan masalah kenaikan kadar faedah bagi pinjamannya untuk membeli Twitter daripada pihak Rizab Persekutuan.

“Tesla melaksanakan lebih baik daripada ini. Kita tidak dapat mengawal Rizab Presekutuan. Inilah masalah sebenarnya,” katanya dalam satu hantaran Twitter pada tahun lepas.

Dalam satu sesi podcast, Musk turut seolah-olah memberi amaran mengenai bahaya membuat pinjaman ketika fasa pasaran saham yang tidak menentu.

“Saya benar-benar akan menasihati orang ramai supaya tidak mempunyai hutang margin dalam pasaran saham yang tidak menentu. Anda mungkin berdepan dengan masalah besar sekiranya sesuatu terjadi dalam pasaran” kata Musk seperti dilaporkan Bloomberg sebelum ini.

Sumber: Wio News