
BERMULA di pentas Akademi Fantasia musim pertama (AF1) yang menemukan mereka, siapa menduga perkenalan sebagai rakan seperjuangan akhirnya berkembang menjadi sebuah kisah cinta yang terus utuh hingga ke hari ini.
Lebih 17 tahun melayari bahtera rumah tangga sejak 26 April 2008, Rosma dan Khai bukan sekadar suami isteri, tetapi juga rakan sejiwa yang bergerak seiring dalam seni, perniagaan dan kerja kebajikan.
Siapa sangka, daripada sekadar rakan serumah ketika menyertai AF1, hubungan itu akhirnya benar-benar menjadi “rakan serumah” dalam erti kata sebenar, berkongsi kehidupan, cabaran dan impian bersama hingga ke hari ini.
Hasil perkongsian hidup itu, pasangan tersebut dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Muhammad Amzar Danish, Nur Amani Damia dan Nur Alya Dhania, yang menjadi pelengkap kepada keluarga kecil mereka.

Selepas melalui pelbagai fasa kehidupan bersama, Rosma tidak menafikan rumah tangga juga ada turun naiknya tersendiri.
Baginya, tiada istilah sempurna, sebaliknya yang ada hanyalah usaha untuk terus memahami antara satu sama lain.
“Tak adalah saya nak kata ada tips rumah tangga yang khusus. Saya pun masih belajar. Tapi bagi saya, jatuh bangun dalam perkahwinan itu normal.
"Sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula suami isteri,” katanya jujur.
Menurutnya, antara perkara paling penting yang menjadi pegangan mereka sepanjang hampir dua dekad bersama ialah komunikasi.
“Walau apa pun jadi, komunikasi itu sangat penting. Kalau tak ada komunikasi, hubungan itu boleh jadi ‘krik-krik’.
"Jadi kita memang akan cuba bercakap, selesaikan bersama,” ujarnya.
Rosma juga mengakui dirinya bukan seorang yang mudah untuk berkomunikasi pada awalnya, namun banyak berubah selepas berkahwin.
“Saya sendiri pun bukan pandai sangat nak berkomunikasi dengan baik dulu. Tapi Alhamdulillah, Khai banyak bantu.
"Sekarang kalau ada salah, cepat-cepat kita minta maaf. Itu penting,” katanya kepada SinarPlus.
Dalam mengurus rumah tangga, pasangan ini juga mempunyai pembahagian peranan tersendiri.
Khai lebih memberi fokus kepada urusan kerja dan perniagaan, manakala Rosma banyak menguruskan hal berkaitan anak-anak, namun kedua-duanya tetap saling melengkapi.
“Dalam rumah tangga, memang suami lebih dominan. Tapi kita ada bahagian masing-masing.
"Bab anak-anak, saya lebih uruskan. Tapi bila di rumah, kita tetap bersama-sama,” jelasnya.

Gangguan pihak ketiga
Tidak hanya itu, Rosma turut menekankan kepentingan keterbukaan, terutama dalam mengelakkan salah faham atau cerita yang tidak benar daripada pihak luar.
“Kalau keluar tanpa pasangan pun, bila balik rumah kita akan cerita. Apa yang jadi, kita kongsi. Supaya tak ada ruang untuk orang luar ‘create’ cerita yang bukan-bukan.
"Mengenai isu ‘penyondol’ atau gangguan pihak ketiga yang sering menjadi kebimbangan dalam rumah tangga masa kini, saya mengambil pendekatan lebih tenang dan berpada-pada.
“Benda macam itu memang akan sentiasa ada. Kita tak boleh nak elak sepenuhnya. Tapi kita kena tahu batas sebagai suami isteri. Kita jaga diri kita, dan dalam masa sama kita percaya pasangan,” ujarnya.
Baginya, terlalu melayan emosi atau prasangka hanya akan memburukkan keadaan.
“Kalau kita terlalu sensitif atau berlebihan, nanti lain pula jadinya. Jadi saya pilih untuk lebih santai, tapi dalam masa sama tahu batas,” tambahnya.
Selepas meninggalkan sorotan utama pentas hiburan, Rosma dan Khai memilih laluan yang lebih mencabar tetapi bermakna, membina sesuatu yang boleh memberi impak jangka panjang kepada masyarakat.
Apa yang bermula sebagai langkah kecil dalam dunia perniagaan, kini berkembang lebih sedekad di bawah KR Successful Sdn Bhd.

“Kami bermula memang dari kosong. Semua benda kena belajar sendiri,” kongsi Rosma.
Antara produk yang diperkenalkan termasuk MS SenaRos dan Inai Rambut Instant Al Attas sejak 2018, yang menjadi antara usaha mereka membina jenama sendiri.
“Kita tak boleh cepat putus asa. Dalam bisnes, kalau hari ini jatuh, esok kita kena bangun balik,” kata Khai

Konsert Kristal OG.
Dalam masa yang sama, pasangan ini turut memperkukuhkan peranan sosial dengan menubuhkan Pertubuhan Kasih KhaiRosma pada Mei 2022, bagi membantu golongan kurang berkemampuan.
“Bila kita turun padang, kita nampak sendiri realiti hidup mereka. Itu yang buat kami lebih kuat untuk teruskan,” luah Rosma.
Sejak bekerjasama dengan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) bermula 2022, pelbagai program telah dilaksanakan termasuk bantuan bulanan dan inisiatif bersama anak yatim.
“Kami cuma nak pastikan bantuan itu sampai kepada mereka yang betul-betul perlukan,” tambah Khai.
Tidak berhenti di situ, pasangan ini kini melangkah ke satu lagi fasa besar apabila bakal menganjurkan Konsert Kristal OG pada 1 Mei 2026 di Zepp KL, program sulung di bawah pertubuhan mereka.
Konsert itu bukan sekadar hiburan, tetapi membawa misi menyatukan pelbagai generasi dalam satu pentas yang meraikan perjalanan seni lebih 25 tahun.
“Jujurnya memang gementar. Nampak macam senang, tapi sebenarnya tak semudah yang disangka,” kata Rosma.
Namun bagi mereka, selagi ada usaha dan kerjasama, setiap perancangan pasti dipermudahkan.

“Selagi kita buat dengan niat yang betul dan bekerjasama dengan baik, insya-ALLAH semuanya akan berjalan lancar,” tambahnya.
Bagi Rosma dan Khai, perjalanan ini bukan lagi sekadar tentang nama atau populariti, tetapi bagaimana setiap langkah yang diambil mampu memberi makna, bukan sahaja kepada diri sendiri, tetapi juga kepada orang lain.

