Dari wira negara ke agropreneur moden! PERHEBAT-UPM berjaya latih 151 veteran

LocalBusiness & Finance
12 Feb 2026 • 8:23 PM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

Sejumlah 151 veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berjaya dilatih dalam bidang pertanian menerusi kerjasama Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT) dan Universiti Putra Malaysia (UPM).

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, Program Usahawan Tani Putra PERHEBAT merupakan sebahagian daripada inisiatif strategik kementerian bagi memperkasa veteran dalam bidang keusahawanan, khususnya sektor pertanian dan penternakan.

“Program ini berperanan sebagai lonjakan kerjaya kedua kepada veteran selain menyokong inisiatif kerajaan memperkasa keterjaminan makanan negara,” kata beliau pada lawatan kerja ke tapak program USAHAWANTANI PUTRA-PERHEBAT di UPM Serdang.

image is not available

PERHEBAT-UPM berjaya latih 151 veteran

Program latihan berstruktur selama enam bulan bagi setiap kohort itu memberi pendedahan menyeluruh, termasuk pembenihan, penjagaan, pengeluaran dan pemasaran.

Latihan berkenaan memberi tumpuan kepada tiga sektor utama iaitu tanaman, ternakan dan perikanan berskala komersial.

image is not available

Sejumlah lapan plot latihan disediakan bagi tanaman terung dan cili, sun melon, nenas dan jagung, cendawan, puyuh dan ayam, itik, ruminan serta perikanan.

Sejak pelaksanaan program pada Mac 2023, peserta berjaya mengeluarkan hasil pertanian seperti 24 tan cili dan terung, 3 tan ikan keli, dan 7 tan sun melon.

Hasil produk dipasarkan melalui Putra Mart, pusat jualan di UPM Serdang, serta kepada pemborong sekitar Selangor.

image is not available

image is not available

image is not available

  image is not available

Artikel lain:  PERHEBAT 2026–2035: Inisiatif Menteri Pertahanan perkasa bakal pesara, veteran ATM

Lawatan kerja turut dihadiri Ketua Pengarah PERHEBAT, Dato’ Ts. Amir Md. Noor; Pendaftar UPM, En. Muhazam Mansor; dan Pengarah Pusat Pertanian Putra UPM, Prof. Ts. Dr. Siti Zaharah Sakimin.

image is not available

Program ini selaras dengan matlamat Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN) dan Pelan Transformasi PERHEBAT 2026–2035, yang menekankan pembangunan modal insan dan sosioekonomi veteran serta bakal pesara ATM.

Melalui pelan transformasi ini, PERHEBAT akan melaksanakan inisiatif Hebat E-Co bagi membantu veteran dalam pembangunan ekonomi secara berkelompok, khususnya sektor agromakanan, dengan kerjasama universiti awam, agensi kerajaan dan syarikat induk seperti Boustead Plantations.

image is not available

Tegas Adly, kerjasama antara agensi kerajaan dan pihak swasta perlu dipertingkatkan bagi memastikan kelestarian ekonomi veteran ATM dan menyumbang kepada rantaian jaminan bekalan makanan negara.