
KUCHING – Pejabat, agensi kerajaan dan swasta yang terkesan dengan darurat jerebu di Serian termasuk sektor industri, ladang, tapak pembinaan dan kuari boleh meneruskan operasi namun mesti mengambil langkah pencegahan kesihatan.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri berkata, jawatankuasa itu memantau rapi situasi jerebu di seluruh negeri, khususnya bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) di Serian.
“JPBN sedang memantau tahap IPU di Serian dalam tempoh tiga hari ini sekiranya ia meningkat melebihi paras 500.
“Pemantauan ini dilakukan sebelum sebarang syor dikemukakan kepada Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung status darurat di Serian,” katanya.
Uggah berkata, IPU dipengaruhi terutamanya oleh arah tiupan angin dan punca titik panas.
JPBN memaklumkan setakat pukul 10 pagi, stesen pemantauan kualiti udara Serian merekodkan bacaan IPU sebanyak 334, iaitu kategori berbahaya.
Beliau menasihatkan orang ramai supaya mengelakkan aktiviti luar, memakai pelitup muka N95 atau pelitup muka tiga lapis dan memberikan perhatian khusus kepada kanak-kanak, warga emas dan golongan yang lebih terkesan dengan jerebu.
Semalam, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim memperkenankan pengisytiharan darurat di Serian selepas bacaan IPU melebihi paras 500.- Bernama
The post Darurat jerebu: Operasi tempat kerja dibenarkan berserta langkah pencegahan appeared first on Kosmo Digital.






