
KUCHING, 5 SEPT: Pejabat, agensi kerajaan dan pihak swasta yang terkesan dengan darurat jerebu di Serian termasuk sektor industri, ladang, tapak pembinaan dan kuari boleh meneruskan operasi namun mesti mengambil langkah pencegahan kesihatan.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dalam kenyataan hari ini berkata jawatankuasa itu memantau rapi situasi jerebu di seluruh negeri, khususnya bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) di Serian.
“JPBN sedang memantau tahap IPU di Serian dalam tempoh tiga hari ini bagi pergerakan bacaan paras IPU, sekiranya ia meningkat melebihi paras 500.
“Pemantauan ini dilakukan sebelum sebarang syor dikemukakan kepada Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung status darurat di Serian,” katanya.
Uggah berkata IPU dipengaruhi terutamanya oleh arah tiupan angin dan punca titik panas.
JPBN memaklumkan setakat jam 10 pagi, stesen pemantauan kualiti udara Serian merekodkan bacaan IPU sebanyak 334, iaitu berada dalam kategori berbahaya.
Beliau menasihatkan orang ramai supaya mengelakkan aktiviti luar, memakai pelitup muka N95 atau pelitup muka tiga lapis jika pendedahan di luar tidak dapat dielakkan serta memberikan perhatian khusus kepada kanak-kanak, warga emas dan golongan yang lebih terkesan dengan jerebu.
“JPBN akan terus memantau situasi ini dengan rapat dan memberikan maklumat terkini dari semasa ke semasa yang diperlukan serta akan terus bekerjasama rapat dengan semua agensi berkaitan peringkat negeri dan Persekutuan,” katanya.
Semalam, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim memperkenankan pengisytiharan darurat di seluruh Bahagian Serian selepas bacaan IPU melebihi paras 500.
Pejabat Perdana Menteri (PMO) memaklumkan keputusan itu dibuat selepas mengambil kira nasihat Perdana Menteri dan Premier Sarawak serta agensi berkaitan mengenai tahap kualiti udara di kawasan terbabit.






