
KUALA LUMPUR: Pendekatan dasar berkecuali dan pematuhan undang-undang antarabangsa kekal menjadi asas penting pendirian ASEAN dalam memastikan keamanan serta kestabilan rantau Indo-Pasifik.
Setiausaha Agung ASEAN, Dr. Kao Kim Hourn berkata, pendirian tersebut bukan bertujuan menghapuskan persaingan antara kuasa besar, sebaliknya memastikan ia diurus secara bertanggungjawab melalui dialog, diplomasi, pematuhan undang-undang antarabangsa dan kerjasama praktikal.
Katanya, ASEAN melihat cabaran utama ketika ini adalah memastikan persaingan strategik tersebut tidak menjejaskan keamanan serta kestabilan serantau.
“Tugas yang lebih mendesak adalah untuk mengurus persaingan ini secara bertanggungjawab dan menghalangnya daripada menggugat keamanan serta kestabilan serantau,” katanya ketika berucap dalam Persidangan Undang-Undang Ketenteraan dan Operasi Antarabangsa Ke-37 (MILOPS) 2026 di sini hari ini.
Kim Hourn turut menyokong penekanan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin terhadap kepentingan Zon Aman, Bebas dan Berkecuali (ZOPFAN), dengan menyifatkannya sebagai prinsip penting yang terus menjadi panduan kepada rantau ini.
Beliau berkata, perpaduan ASEAN, solidariti serta keupayaan pertubuhan itu untuk menyuarakan pendirian bersama memerlukan penyelarasan lebih kukuh dalam kalangan negara anggota menerusi pendekatan menyeluruh kerajaan serta kerjasama lebih rapat dalam komuniti ASEAN.
“Keutamaan ASEAN bukan bertujuan untuk mendominasi atau mengecualikan mana-mana kuasa lain, sebaliknya mencerminkan peranan pertubuhan itu sebagai pengantara yang dipercayai, pemudah cara dialog serta platform yang boleh diharapkan oleh negara-negara dengan sistem politik dan kepentingan strategik yang berbeza.
“Keutamaan ASEAN bukan mengenai dominasi atau mengetepikan pihak lain, tetapi mengenai peranan kami sebagai pengantara yang jujur, penganjur yang dipercayai dan platform yang boleh diharapkan oleh semua negara,” ujarnya.
Beliau berkata, Pandangan ASEAN mengenai Indo-Pasifik (AOIP) menggariskan visi serantau yang berteraskan dialog, keterangkuman, kerjasama dan tanggungjawab bersama, bukannya persaingan serta tindakan mengecualikan mana-mana pihak.
“Negara-negara tidak seharusnya dipaksa atau ditekan untuk memilih antara visi strategik yang saling bersaing,” katanya. – UTUSAN
The post Dasar berkecuali asas keamanan rantau Indo-Pasifik appeared first on Utusan Malaysia.



