Data kemiskinan Sabah sudah lapuk

7 Apr 2024 • 1:24 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Tuaran: Statistik kemiskinan tegar lapan daerah termiskin di Sabah, termasuk Tuaran, dibuat berdasarkan rekod tiga tahun yang lalu.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, rekod terbaharu tahun ini menunjukkan statistik ketua isi rumah (KIR) miskin tegar di daerah terbabit sudah jauh berkurang.

Katanya, bagi daerah Tuaran saja, rekod terkini setakat bulan lalu hanya ada lebih 600 KIR miskin tegar berbanding kira-kira 1,000 KIR yang dilaporkan tiga tahun yang lalu.

Beliau berkata, penurunan itu adalah hasil usaha dan inisiatif yang dilaksanakan kerajaan pimpinannya dalam memerangi kemiskinan tegar sepanjang kira-kira tiga tahun memerintah negeri.

SPONSORED CONTENT Sabah revenue hits RM6.97 billion: Hajiji says GRS State Government may see full term Kota Kinabalu: The Sabah Government continued its momentum in managing the economy in line with the commitment and spirit of the Sabah Maju Jaya (SMJ) when it posted record high state revenue of RM6.973 billion last year. Read more “Sekarang pembangkang guna isu Tuaran daerah termiskin di Sabah, tetapi saya mahu jelaskan itu ialah ukuran tiga tahun yang lalu.”

“Kerajaan memandang serius masalah kemiskinan tegar dan berusaha membantu golongan itu melalui pelbagai cara, bukan saja bantuan rumah, malah dibantu memulakan perniagaan kecil-kecilan supaya statistik mereka dapat diturunkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Ketua Menteri di Masjid An-Nur, Tuaran, di sini, pada Jumaat.

Sebelum ini, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli mendedahkan lapan daerah termiskin di Sabah ketika ini sebagai Tongod, Beluran, Pitas, Kinabatangan, Kota Marudu, Tuaran, Ranau dan Lahad Datu.

Hajiji berkata, statistik keseluruhan KIR di Sabah setakat 24 Mac lalu pula hanya berjumlah 13,172, menurun daripada 22,510 KIR yang dilaporkan tiga tahun lalu.

“Ini bermakna kerajaan melakukan yang terbaik untuk rakyat dan ini adalah keutamaan kita. Dalam kita merancang pembangunan besar, kita tidak lupa golongan miskin tegar.

“Kita ada sekretariat Sabah Maju Jaya (SMJ) yang ditugaskan menangani isu kemiskinan di Sabah. Antaranya melaksanakan pembinaan Rumah Mesra SMJ yang mana, dua tahun berturut-turut kita beri 1,500 rumah setahun kepada mereka yang tersenarai dalam e-Kasih.

“Setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) diperuntukkan 20 rumah, jadi sekarang ini sudah ada 3,000 rumah diberi kepada golongan miskin tegar yang ada dalam senarai e-Kasih,” katanya.

Beliau berkata, perkara itu adalah antara usaha yang dibuat kerajaan, namun pembangkang hanya pandai bercakap macam-macam untuk memburukkan usaha kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) – Pakatan Harapan (PH) Plus.

Hajiji berkata segelintir pemimpin pembangkang di Sabah ketika ini pernah bersama dalam kerajaan sebelum ini, namun hanya mahu membolot jawatan.

“Saya tidak mahu menyalahkan atau merendahkan kawan kita di sebelah sana (pembangkang), siapa suruh mereka ke sebelah sana, melainkan ada sebab yang saya tidak mahu cakap di sini sekarang.

“Mereka minta jadi Menteri Kewangan dan jawatan lain. Kalau agensi kerajaan yang penting penting, pengerusinya semua mereka bolot. Dulu mereka hingga empat menteri dan enam pembantu menteri, sedangkan parti saya sendiri hanya tiga menteri dan tiga pembantu menteri,” katanya.

Beliau bagaimanapun tidak menamakan pihak yang dimaksudkan, selain menjelaskan bahawa apa yang disebutkan itu adalah fakta bagi memastikan rakyat tidak terpengaruh dengan dakyah mereka.

Hajiji berkata, beliau juga menyedari pembangkang sudah mula mengatur strategi untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) berdasarkan serangan demi serangan yang ditujukan kepadanya dan kerajaan.

“Mereka (pembangkang) sekarang berhabis bersedia untuk PRN, sedangkan ia hampir dua tahun lagi. Maklumlah, mereka fikir mana tahu Ketua Menteri mahu bubar DUN.

“Sebab itulah sekarang kita lihat mereka tidak peduli sekarang bulan puasa, mereka hentam saja (menyerang kerajaan),” katanya.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.