Data PADU digunakan bagi pelaksanaan mekanisme subsidi bersasar RON95 – Menteri Kewangan II

04/08/2025 - 15:22
KUALA LUMPUR 4 Ogos - Kementerian Kewangan akan menggunakan sepenuhnya data daripada Pengakalan Data Utama (PADU) dalam pelaksanaan subsidi bersasar bagi RON95 yang sedang diperhalusi.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan yang turut menjalankan tugas serta fungsi Menteri Ekonomi berkata, sistem tersebut setakat ini telah mengumpul lebih 30.4 juta profil individu yang merangkumi maklumat demoggrafi, lokaliti status sosioekonomi, pekerjaan, pendapatan, pendidikan, pemilikan kenderaan, status kemiskinan dan jenis bantuan yang diterima.
"MOF akan menggunakan data PADU sebagai titik rujukan untuk mengenal pasti penerima subsidi… ini akan menjadi penggunaan terperinci pertama data PADU.
"Kerajaan memberi tumpuan kepada penggunaan data terkini bagi meningkatkan keberkesanan penyampaian perkhidmatan.
"Sebagai contoh, pengesahan dan pengesahan semula maklumat pemohon adalah penting untuk mengenal pasti penerima yang layak secara tepat dan seterusnya mengurangkan kesilapan," katanya semasa sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan daripada Aminolhuda Hassan (PH–Sri Gading) mengenai perancangan Kementerian Ekonomi terhadap PADU, jumlah data yang telah dikumpul setakat Jun 2025, serta kesediaan kerajaan untuk melaksanakan audit berkala terhadap sistem tersebut melalui badan bebas bagi memastikan ketelusan dan tadbir urus yang baik.
Amir Hamzah berkata, kerajaan juga dapat mengenal pasti program intervensi yang sesuai untuk kumpulan sasaran berdasarkan data yang diperoleh.
Beliau berkata, sebanyak 204 agensi telah secara berterusan mengintegrasikan data ke dalam sistem PADU.
"Bagi menggalakkan pembuatan keputusan berasaskan data, garis panduan perkongsian data PADU telah dibangunkan dan diedarkan kepada semua agensi kerajaan pada 25 Februari.
"Sesi taklimat yang melibatkan kementerian, agensi, kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan turut diadakan antara Februari hingga Jun tahun ini.
"Setakat ini, sembilan permohonan (untuk penggunaan data PADU) daripada pelbagai agensi telah diluluskan bagi meningkatkan kecekapan dan keberkesanan pelaksanaan dasar serta inovasi perkhidmatan digital,” katanya.- BERNAMA
standard

