Datang dari Seremban, singgah KL seleweng diesel

LocalPolitics
29 Apr 2026 • 9:27 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Datang dari Seremban, singgah KL seleweng diesel
Mohd Sabri ketika ditemui pemberita pada Rabu.

KUALA LUMPUR - Pergerakan sebuah lori kanvas tiga tan dari Seremban, Negeri Sembilan ke Kuala Lumpur untuk 'singgah' di stesen minyak bagi memenuhkan tangki khas dengan diesel subsidi yang diseleweng dibongkar pada Rabu.

Penahanan kenderaan yang bertutup rapi itu dibuat skuad bermotosikal Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kuala Lumpur di sebuah stesen minyak di Sungai Besi di sini kira-kira jam 1 pagi.

Pasukan rondaan ini bergerak dengan berpakaian preman sepanjang 24 jam.

Pengarah KPDN Kuala Lumpur, Mohd Sabri Seman berkata, seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 30-an berperanan sebagai pemandu lori ditahan.

Menurutnya, pemeriksaan di dalam lori terbabit mendapati terdapat tiga tangki kapasiti 1,000 liter setiap satu.

"Siasatan awal tangki itu dipercayai sudah diisi 1,500 liter diesel yang diseleweng dari tiga ke empat stesen minyak sebelum pulang semua ke Seremban untuk proses pemindahan.

"Kita percaya bahan api untuk dijual semula bagi kegunaan industri," katanya kepada pemberita di lokasi serbuan di sini pada Rabu.

Beliau berkata, KPDN Kuala Lumpur telah mengenal pasti modus operandi baharu penyelewengan diesel subsidi ini iaitu dipercayai menggunakan ejen atau 'runner' yang menggunakan 'fleet card' sementara pemandu lori menunggu di pam.

Katanya, semasa penahanan lori terbabit, ejen dipercayai telah melarikan diri.

"Berdasarkan semakan resit pembelian, kita percaya kegiatan ini menggunakan fleet card. Ejen akan menggunakan kenderaan lain dan berada di depan lori," katanya.

Tegasnya, KPDN memberi peringatan kepada sindiket terlibat bahawa setiap modus operandi mereka akan dapat dikenal pasti.

Siasatan dijalankan mengikut Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

Sementara itu, pemandu lori terbabit ketika ditemui mendakwa dibayar RM250 bagi setiap trip.

"Saya datang dari Seremban dan akan singgah beberapa stesen minyak hingga ke Kuala Lumpur sebelum patah balik ke Seremban.

"Setiap stesen minyak saya akan isi sekitar 150 liter diesel. Biasanya sehari saya akan buat dua trip, setiap trip akan singgah dalam enam stesen minyak," ujarnya.

Tambahnya, dia juga menyedari kesalahan dilakukan namun dijerat dengan tawaran wang daripada dalang yang dikenalinya termasuk sanggup bagi mengubah suai lori miliknya dengan tangki khas.