KUALA LUMPUR - Sindiket penyelewengan diesel dengan taktik menggunakan lori yang diubah suai dengan tangki tambahan dibongkar di Jalan Air Jernih, Setapak di sini pada Jumaat.
Kegiatan itu dikesan menerusi tindakan bersepadu Op Tiris 4.0 Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kuala Lumpur kira-kira jam 6.40 petang.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa Negeri KPDN Kuala Lumpur, Mohd Shahran Mohd Arshad berkata, seorang pemandu lori warga tempatan berusia lingkungan 20-an ditahan.
Menurutnya, penahanan itu dilakukan susulan maklumat risikan Pasukan Khas KPDN Kuala Lumpur yang mengesan pergerakan sebuah lori dalam keadaan mencurigakan selepas keluar dari sebuah stesen minyak di kawasan Jalan Kepong.
"Pasukan khas kemudiannya mengekori kenderaan itu yang kemudian sekali lagi memasuki sebuah stesen minyak di Jalan Kuching dan membuat pengisian minyak di stesen berkenaan.
"Kenderaan itu ditahan ketika berhenti bersebelahan sebuah sekolah di Setapak.
"Hasil pemeriksaan mendapati ia sudah diubah suai dengan pemasangan empat tangki jenis IBC berkapasiti 1,000 liter setiap satu di bahagian belakang, selain dilengkapi dengan pam penyedut yang dipercayai digunakan untuk memindahkan diesel dari tangki asal ke tangki tambahan," katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, pemandu terbabit didapati tidak mempunyai sebarang dokumen sah bagi mengendalikan, menyimpan serta memiliki barang kawalan berjadual jenis bahan api berkenaan.
Katanya, keseluruhan sitaan dianggarkan bernilai RM52,000 membabitkan sebuah lori jenama Nissan, empat unit tangki IBC, dua unit pam penyedut, hos penyambung, telefon bimbit serta 3,500 liter diesel.
"Minyak diesel yang disita itu dianggarkan bernilai RM17,920 mengikut harga tanpa subsidi atau RM7,525 bagi harga subsidi," ujarnya.
Tegasnya, KPDN tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang gagal mematuhi peruntukan undang-undang ini dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu atau sindiket yang terlibat dalam penyelewengan.
Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.






