hamden13/11/2026 - 09:58 KUALA LUMPUR 13 Nov – Kerajaan Malaysia bersedia memudah cara sebarang permohonan rasmi untuk menyiasat Speedmatrix Sdn Bhd berhubung dakwaan kemungkinan pelanggaran sekatan eksport cip kecerdasan buatan (AI), khususnya berkaitan kontroversi cip Nvidia.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, berkata bagaimanapun kerajaan masih belum menerima sebarang permohonan rasmi untuk menjalankan siasatan terhadap syarikat berkenaan.
Beliau berkata Malaysia tidak mempunyai masalah untuk memberikan kerjasama sekiranya terdapat pihak yang mengemukakan permohonan bagi tujuan pemeriksaan dan siasatan.
“Sekiranya mereka mempunyai kes, datang dan buat pemeriksaan. Tiada masalah. Kami akan memudah cara,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran MySaham MITI di sini, Khamis.
Johari berkata demikian ketika ditanya sama ada kerajaan telah menerima permohonan rasmi untuk menyiasat Speedmatrix, anak syarikat Malaysia kepada firma pengkomputeran awan berpangkalan di Singapura, Megaspeed International.
Sebelum ini, Speedmatrix dilaporkan didakwa mempunyai kaitan dengan kontroversi cip Nvidia dan berkemungkinan melanggar sekatan eksport negara.
Isu itu turut mendapat perhatian susulan laporan mengenai pengakuan Ketua Pegawai Eksekutif Nvidia, Jensen Huang, berhubung hubungan sulit dengan seorang wanita yang dikaitkan dengan Megaspeed International.
Perkembangan itu mendorong Nvidia mengumumkan peletakan jawatan serta-merta Huang sebagai presiden, ketua pegawai eksekutif dan anggota lembaga pengarah sementara menunggu siasatan bebas.
Sementara itu, Johari berkata beliau telah membangkitkan perkara berkenaan dengan pengendali pusat data, khususnya bagi membezakan aktiviti penggunaan unit pemprosesan grafik (GPU) untuk kegunaan sendiri di pusat data dengan aktiviti pengeksportan semula cip berkenaan.
Menurutnya, aktiviti menyewa pusat data dan membeli GPU untuk kegunaan sendiri tidak semestinya menimbulkan isu perundangan sekiranya tiada peraturan yang dilanggar.
“Setakat ini, saya sudah memaklumkan kepada semua pengendali pusat data. Adakah terdapat sebarang kesalahan sekiranya Speedmatrix atau Megaspeed menyewa pusat data? Jika tiada sebarang kesalahan dan mereka membeli GPU untuk kegunaan sendiri di pusat data, saya tidak nampak undang-undang mana yang perlu kita gunakan.
“Namun, sekiranya terdapat sekatan terhadap pengeksportan semula GPU berkenaan, perkara itu perlu kita teliti,” katanya. - DagangNews.com






