Dalam usaha mempercepatkan transformasi digital Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS), Dattel Asia Group dengan sokongan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) telah melancarkan dana RM50 juta untuk Pembiayaan Pendapatan (Revenue-Based Financing).

Dana ini bertujuan menyediakan akses kewangan yang lebih luas kepada usahawan tanpa mengira latar belakang atau saiz perniagaan. Dengan sokongan ini, mereka dapat meluaskan operasi, memperoleh aset strategik, dan meningkatkan daya saing dalam ekosistem perniagaan yang semakin pesat berkembang.

Pembiayaan Berdasarkan Pendapatan memberikan kemudahan kepada usahawan, di mana bayaran balik dibuat mengikut peratusan pendapatan perniagaan. Kaedah ini boleh bantu meringankan beban kewangan terutama bagi perniagaan dengan aliran tunai yang tidak menentu atau bermusim kerana pembayaran hanya dilakukan apabila pendapatan diperoleh.

Platform MyDataHub.ai memainkan peranan utama dalam inisiatif ini dengan mengintegrasikan data masa nyata daripada e-dagang, pembayaran digital QR Pay, dan platform ekonomi GID. Teknologi ini mempercepatkan proses penilaian kewangan, memudahkan akses kepada pembiayaan, serta membantu usahawan membuat keputusan kewangan dengan lebih tepat dan efisien. Dengan pendekatan ini, usahawan dapat memahami kedudukan kewangan mereka dengan lebih jelas dan bertindak berdasarkan maklumat yang terkini.

Usahawan yang berminat boleh mengemukakan permohonan secara atas talian dengan tempoh kelulusan dalam tiga hari bekerja. Pembiayaan bermula dari RM3,000 tanpa had maksimum yang bergantung kepada prestasi jualan. Rakan kongsi juga memastikan bahawa pembiayaan yang ditawarkan tidak melebihi kemampuan pemohon bagi memastikan kelestarian kewangan mereka. Penerimaan wang pula dijangka dalam tempoh sebulan, memberikan usahawan fleksibiliti dalam mengurus aliran tunai dan mengembangkan perniagaan mereka.

Berkongsi dengan Amanz, inisiatif ini bukan sahaja menyediakan alternatif kepada pembiayaan konvensional, tetapi juga membuka lebih banyak peluang kepada usahawan untuk berkembang dalam ekonomi digital. Mereka turut merancang untuk memperkenalkan konsep Pay-As-You-Sale di mana pemilik perniagaan dapat mengetahui jumlah sebenar yang digunakan dan membuat bayaran berdasarkan hasil jualan mereka.


Selain itu, papan pemuka digital yang disediakan membolehkan pemilik menggabungkan data daripada dompet digital seperti Shopee dengan platform e-dagang lain. Ia boleh memberikan gambaran menyeluruh tentang jualan dalam satu tempat, membolehkan mereka mengenal pasti strategi dan platform terbaik untuk perkembangan perniagaan.
- Maklumat Lanjut – mydatahub.ai



