Datuk Temui Cucu 2 Tahun Sesak Nafas & Muntah, Didakwa Tersedut Atau Tertelan Cecair Vape

6 Jun 2023 • 11:25 AM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

image is not available

Ramai sedia maklum merokok merupakan perbuatan yang boleh membahayakan kesihatan.

Meskipun ramai yang cuba mengubah gaya hidup mereka dengan menghisap vape atau rokok elektronik, kandungan nikotin di dalam alat tersebut masih boleh memberi kesan kepada kesihatan tambahan pula jika ia dihisap secara tidak sengaja oleh kanak-kanak yang masih kecil.

Kanak-kanak 2 tahun alami keracunan nikotin?

Baru-baru ini, tular di media sosial kenyataan dari Kementerian Kesihatan Malaysia, berhubung satu kes melibatkan kanak-kanak berumur 2 tahun yang didakwa berkemungkinan mengalami keracunan nikotin dalam rokok elektronik.

Menurut laporan tersebut, kejadian berkenaan dikatakan berlaku di Bera, Pahang pada 30 Mei lepas apabila datuk mangsa menemui cucunya mengalami gejala batuk, muntah dan sesak nafas.

Bersama kanak-kanak tersebut, ditemui peranti rokok elektronik atau vape pakai buang yang terletak di atas lantai berdekatan mangsa. Susulan itu, dipercayai kanak-kanak tersebut kemungkinan besar telah tersedut atau tertelan cecair daripada peranti rokok elektronik tersebut.

image is not available

Alami sawan dua kali semasa rawatan

Kanak-kanak itu kemudian dibawa ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAHS), Temerloh, Pahang kerana memerlukan bantuan pernafasan di Unit Rawatan Rapi Kanak-Kanak.

Semasa rawatan diberikan, kanak-kanak ini juga difahamkan mengalami sawan sebanyak dua kali dan kini dalam keadaan stabil serta boleh bernafas tanpa alat pernafasan.

image is not available

Menurut laporan KKM lagi, keputusan air kencing menunjukkan kehadiran nikotin yang tinggi dan peranti rokok elektronik yang ditemui telah dihantar ke makmal untuk ujian lanjut.

KKM juga pada masa yang sama menasihatkan orang ramai tentang bahaya penggunakan vape kepada kesihatan, terutamanya pada kesan jangka masa panjang terhadap kanak-kanak yang boleh menjejaskan pertumbuhan otak mereka.

Mak ayah pantaulah anak-anak supaya mereka tak tersalah ambil vape buat mainan pula. Haish…

image is not available

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.