Daya penarik tersendiri SG4 raih pelaburan asing

LocalBusiness & Finance
27 Oct 2026 • 6:28 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Daya penarik tersendiri SG4 raih pelaburan asing
Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu yang bernaung di bawah gabungan SG4 kini tampil bukan sekadar sebagai satu wilayah pentadbiran, sebaliknya sebagai satu entiti ekonomi bersepadu yang menawarkan premis pelaburan yang sangat menarik dan strategik. Foto kecil: Baharom

DALAM peta pembangunan ekonomi Malaysia, perhatian pelabur antarabangsa yang dahulunya tertumpu di koridor pantai barat yang kini semakin tepu, mula beralih ke utara dan pantai timur Semenanjung.

Konsortium atau gagasan empat negeri, yakni Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu yang bernaung di bawah gabungan SG4 kini tampil bukan sekadar sebagai satu wilayah pentadbiran, sebaliknya sebagai satu entiti ekonomi bersepadu yang menawarkan premis pelaburan yang sangat menarik dan strategik.

SG4 hadir membawa naratif baharu, gabungan elemen kecekapan kos, keterjaminan sumber, infrastruktur terhubung, serta tadbir urus yang telus bagi melengkapkan ekosistem pelaburan negara.

Apa yang dinanti oleh pelabur?

1. Kepastian Dasar & Potensi Pertumbuhan

Bagi pelabur langsung asing (FDI), aspek paling kritikal dalam membuat pertimbangan modal bernilai bilion ringgit ialah kepastian (certainty).

SG4 menawarkan persekitaran makro yang menepati jangkaan pelabur antarabangsa melalui pertamanya kestabilan politik dan jaminan polisi, di mana mandat penyelarasan empat negeri di bawah satu kerangka ekonomi mengurangkan kerenah birokrasi dan memberi kepastian dasar jangka panjang.

Kedua, SG4 juga menawarkan integrasi Sektor Berimpak Tinggi di mana kehadiran kluster baharu seperti mineral kritikal (REE), teknologi hijau, logistik sempadan, dan pemprosesan makanan halal menepati trend rantaian bekalan global yang mencari hab pembuatan berdaya tahan.

2. Kecekapan Kos, Ketersediaan Tanah Luas dan Operasi Kompetitif

Antara cabaran utama hab industri matang ialah kos perniagaan yang semakin melonjak (cost of doing business). SG4 menyelesaikan kekangan ini melalui kelebihan kos berstruktur seperti ketersediaan tanah industri luas pada kos yang rendah.

SG4 merangkumi keluasan kawasan melebihi 38,000 kilometer persegi dan ketersediaan tapak perindustrian utama (seperti Taman Industri Tok Bali, Kedah Rubber City, dan zon perindustrian di Perlis serta Terengganu) menawarkan kos sewaan, pajakan dan pemilikan tanah yang jauh lebih murah berbanding koridor utama yang lain.

Ianya dikembarkan dengan kecekapan kos operasi dan tenaga kerja, dimana kos utiliti, fasiliti, dan kos sara hidup yang kompetitif membolehkan syarikat memaksimumkan kadar pulangan atas pelaburan (ROI).

Gabungan ini disokong oleh modal insan muda yang produktif dan berasaskan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di rantau ini.

3. Insentif Percukaian dan Geran yang kompetetif

SG4 juga menawarkan insentif pengecualian cukai melalui manfaat status Less Developed States (LDS).

Faktor penarik paling berimpak tinggi dalam struktur kewangan pelaburan di SG4 ialah kelayakan menikmati insentif Status Negeri Kurang Membangun (Less Developed States - LDS) daripada Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dimana pengecualian Cukai sehingga 100% kepada pelabur yang melabur dalam sektor berkelayakan layak menikmati pengecualian cukai pendapatan korporat sepenuhnya sehingga 10 tahun, atau Elaun Cukai Pelaburan (Investment Tax Allowance / ITA) yang sangat menarik.

Tawaran pakej khas menerusi Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA/NCER) dan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC/ECER) menyediakan elaun modal tambahan, pelepasan cukai dan kemudahan geran padanan.

Dari sudut keterjaminan sumber asli, Terengganu dan Kelantan kaya dengan sumber hidrokarbon, minyak, dan gas serta deposit mineral kritikal (REE), manakala Kedah dan Perlis mengukuhkan agenda keterjaminan makanan (food security) dan tenaga boleh diperbaharui.

4. Infrastruktur Terhubung

Pembukaan laluan ECRL menjadi pengubah keadaan (game-changer) yang menghubungkan hab perindustrian di Pantai Timur terus ke Pelabuhan Klang, sekali gus mengurangkan masa dan kos transit kargo secara drastic manakala Pelabuhan Tok Bali dan Kemaman menawarkan pintu gerbang maritim.

Pelabuhan Kemaman merupakan pelabuhan air dalam semula jadi terdalam di Malaysia (draf 18 meter) yang berupaya mengendalikan kapal-kapal kargo berat dan sokongan perkhidmatan minyak dan gas manakala Pelabuhan Tok Bali pula teras logistik maritim Kelantan yang berpotensi sebagai pusat perkhidmatan pesisir pantai (offshore), perikanan moden, dan zon perdagangan marin.

Kedudukan Perlis (Padang Besar), Kedah (Bukit Kayu Hitam), dan Kelantan (Rantau Panjang dan Pengkalan Kubor) menjadikannya koridor perdagangan rentas sempadan yang paling strategik untuk menembusi pasaran ASEAN bernilai tinggi.

Kekuatan utama SG4 terletak pada keupayaannya menukar garis sempadan negeri menjadi satu blok ekonomi yang padu.

Pendekatan berintegriti dan mesra pelabur yang diamalkan oleh pentadbiran negeri mewujudkan ekosistem One-Stop Centre (OSC) yang memudah cara kelulusan lesen, tanah, dan kebenaran merancang.

Daripada bersaing sesama sendiri, empat negeri ini saling melengkapi dimana Kedah dan Perlis menumpukan kepada hab teknologi tinggi, pertanian moden, dan logistik utara manakala Terengganu dan Kelantan mengukuhkan sektor tenaga, mineral, dan logistik maritim.

Melalui syarikat induk pelaburan bersama dan Sekretariat SG4, pelabur asing tidak lagi berurusan dengan negeri secara berasingan, melainkan memasuki satu pasaran gabungan dengan KDNK melebihi RM133 bilion.

Kesimpulannya, SG4 telah membuktikan bahawa potensi ekonomi Malaysia tidak lagi terhad di kawasan bandar raya utama semata-mata.

Dengan kombinasi unik iaitu kos tanah yang rendah, insentif cukai LDS yang pemurah, kemudahan infrastruktur ECRL dan pelabuhan air dalam, akses ke pasaran Thailand, serta tadbir urus berteraskan integriti, SG4 sedia berdiri teguh sebagai destinasi pelaburan asing baharu yang paling dinamik bukan sahaja di Malaysia, malah di rantau Asia Tenggara.

*Profesor Dr Baharom Abdul Hamid ialah Profesor di INCEIF University dan Felo Ekonomi dan Perniagaan di The Future Research

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved