Dayang terima lanjutan kontrak 2 tongkang AWB daripada Petronas Carigali

Business & Finance
14 Feb 2024 • 6:19 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Dayang terima lanjutan kontrak 2 tongkang AWB daripada Petronas Carigali

herman

14/02/2024 - 18:19

KUALA LUMPUR 14 Feb - Dayang Enterprise Holdings Bhd menerusi anak syarikatnya, DESB Marine Services Sdn Bhd telah menerima lanjutan kontrak untuk penyediaan dua lagi tongkang kerja penginapan (AWB) daripada Petronas Carigali Sdn Bhd.

Lanjutan kontrak yang diterima pada 3 November dan 9 November 2023 itu melibatkan Dayang Ruby dan Dayang Opal, kata kumpulan itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Kumpulan itu berkata, lanjutan kontrak Dayang Ruby adalah bagi tempoh 203 hari bermula 11 November 2023 manakala Dayang Opal selama 270 hari bermula 5 November 2023.

"Faktor risiko yang mempengaruhi lanjutan kontrak adalah termasuk risiko pelaksanaan seperti ketersediaan tenaga kerja mahir dan bahan, perubahan harga bahan serta perubahan keadaan politik, ekonomi dan peraturan.

"DESB Marine perlu memastikan pematuhan ketat terhadap prosedur keselamatan dan operasi dalam pelaksanaan keperluan kontrak," katanya.

image is not available
Kontrak penyediaan tongkang Dayang Opal dilanjutkan selama 270 hari bermula 5 November 2023


Sementara itu, kata Dayang Enterprise Holdings, lanjutan kontrak tidak akan memberi kesan ke atas modal terbitan syarikat dan dijangka menyumbang kepada pendapatan DEHB sepanjang tempoh lanjutan itu.

"Tiada pengarah dan/atau pemegang saham utama Pansar atau orang yang berkaitan dengan mereka mempunyai sebarang kepentingan, secara langsung atau tidak langsung dalam kontrak berkenaan," jelasnya.

Saham Dayang ditutup rendah 3 sen atau 1.42% pada RM2.09 hari ini, memberikannya permodalan pasaran sebanyak RM2.42 bilion. - DagangNews.com