
DEWAN Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) akan mengarahkan pemilik tanah di Tanjung Aru membina parit di sekeliling kawasan tanah berkenaan bagi memastikan air limpahan tidak bertakung di satu bahagian kawasan premisnya.
Agensi itu juga akan mempergiat usaha membersihkan parit di belakang rumah penduduk di sebuah kawasan kejiranan di Inanam bagi mengurangkan masalah bau busuk yang kadangkala berpunca daripada struktur berkenaan.
AIR berwarna hitam di dalam parit bersama berhampiran Lorong Ujana 5 ini mengeluarkan bau busuk.Tindakan itu susulan aduan mengenai takungan air berwarna gelap dan berbau busuk di kawasan pinggir tanah di lokasi pertama selain air hitam yang terdapat dalam parit di bahagian belakang rumah di lokasi kedua.
Pembayar cukai dari Tanjung Aru dan Inanam yang membangkitkan masalah bau kurang menyenangkan di kawasan masing-masing telah menyalurkan maklumat berkaitan kepada ruangan Hotline sebelum aduan itu dikemukakan kepada DBKK.
Jurucakap DBKK berkata pemeriksaan dilakukan di sebuah kawasan kediaman di sepanjang Jalan Sireh selepas pihaknya menerima maklumat mengenai masalah berkenaan di kawasan Tanjung Aru.
“Tiga kakitangan Jabatan Kejuruteraan kami mengesahkan terdapat cecair berbau busuk bertakung di bahagian pinggir kawasan tanah berkenaan antara pangsapuri dan premis sukan di sebelahnya.
“Mereka terpaksa berjalan dengan berhati-hati bagi mengelakkan kasut dikotori kerana cecair itu menyebabkan lapisan tanah atas menjadi lembik,” katanya.
Beliau menyatakan pemeriksaan mendapati tiada parit dibina di bahagian kawasan tanah berkenaan sekaligus menyebabkan masalah air bertakung berlaku.
“Kami sudah mendapatkan bantuan rakan sekerja di Jabatan Penilaian untuk mengenal pasti maklumat pemilik tanah supaya pihak berkenaan dapat dimaklumkan mengenai kekurangan itu.
“Kami akan meminta pemilik berkenaan membina sebuah parit kecil bagi menyalurkan air hujan ke parit utama yang terdekat,” ujarnya.
Jika perlu beliau berkata surat rasmi akan dihantar kepada pemilik tanah berkenaan bagi tujuan itu.
Katanya pemilik akan diberikan tempoh kelonggaran untuk membina parit yang diperlukan.
“Sekiranya arahan kami tidak dipatuhi selepas tempoh berkenaan, tindakan lanjut akan diambil,” tambahnya.
KAKITANGAN Jabatan Landskap bertungkus-lumus menjalankan kerja pembersihan parit di Inanam.Berhubung masalah bau busuk yang berpunca daripada parit di bahagian belakang rumah di Inanam, seorang lagi jurucakap berkata kakitangan DBKK sudah diminta supaya lebih peka terhadap keadaan struktur saliran berkenaan.
Jurucakap Jabatan Perkhidmatan Pembersihan Bandaraya (JPPB) berkata langkah itu mampu membantu mengurangkan kesulitan yang dihadapi penduduk di kawasan berkenaan.
Beliau berkata Unit Parit jabatan itu baru-baru ini menjalankan kerja pembersihan parit di belakang Lorong Ujana 5 dengan membuang mendapan lumpur dan rumpai di dalamnya.
“Seramai tujuh kakitangan unit berkenaan menggunakan cangkul untuk mengorek lapisan mendapan yang terkumpul di dasar parit.
“Lumpur yang dikeluarkan kemudian dimuatkan ke belakang sebuah lori seberat empat tan yang turut mengiringi pasukan berkenaan,” jelasnya.
Menurutnya parit di belakang rumah dalam kawasan pentadbiran DBKK dibersihkan dua kali setahun, manakala parit di bahagian hadapan rumah diselenggara oleh syarikat konsesi kerajaan mengikut jadual yang ditetapkan.
Sementara itu GERALD dari Tanjung Aru mengadu mengenai bau busuk yang berpunca daripada air hujan bertakung di pinggir kawasan tanah pangsapuri berkenaan.
“Saya mengesyaki air limpahan itu menjadi bertakung kerana tiada parit bersama antara kawasan tanah ini dengan lot bersebelahan untuk menyalirkan air berkenaan,” katanya.
RENNY yang menetap di Ujana Kingfisher berkata parit bersama di belakang rumahnya kelihatan kurang diselenggara.
“Sudah lama parit itu tidak dibersihkan dan kini dipenuhi mendapan,” katanya.
Beliau mengesyaki air di dalam parit berkenaan bertakung kerana bau busuk kadangkala terhidu dari arah struktur itu.
“Kami terpaksa memastikan tingkap di bahagian belakang rumah sentiasa ditutup bagi mengelakkan bau busuk masuk ke dalam rumah.
“Saya juga tidak berani menjemur pakaian di halaman kerana bau itu akan melekat pada pakaian,” ujarnya.
Selain itu beliau mendapati jumlah nyamuk yang berterbangan di sekitar rumahnya semakin meningkat dan bimbang serangga berkenaan menjadikan parit itu sebagai tempat pembiakan.
“Salah seorang jiran saya baru-baru ini dijangkiti denggi.
“Saya merayu pihak berkuasa tempatan supaya mengambil tindakan segera terhadap masalah saliran di sini sebelum berlaku wabak denggi yang lebih besar,” maklumnya.
Renny turut berharap agensi berkaitan mempertimbangkan kerja membuang mendapan lumpur tebal di dasar parit bagi mengurangkan gangguan bau busuk yang dihadapi penduduk.

![[VIDEO] Kg. Melayu Subang seakan ‘lautan’, air naik paras pinggang](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/11/WhatsApp-Image-2026-11-02-at-17.26.59-1024x766.jpeg)


