
PEGAWAI Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) memantau kenderaan yang diletakan secara haram termasuk mungkin telah ditinggalkan di sekitar Luyang.
Seorang jurucakap Jabatan Penguatkuasaan agensi tersebut berkata kakitangan mereka telah melakukan pemeriksaan berkala di jalan perumahan di Taman Bersatu dan Taman Kim Leng serta laluan menuju Dah Yeh Court.
Beliau berkata dua pemeriksaan berasingan telah dilakukan di Lorong Kenawai 4 dan Lorong Kenawai 4C berhampiran pangsapuri tersebut sepanjang bulan lalu.
“Sebanyak tujuh pemandu telah dikenakan kompaun kerana menceroboh jalan perumahan semasa pemeriksaan ini.
“Mereka telah mengecilkan kedua-dua lorong dengan meletakan kenderaan di salah satu daripada dua lorong,” katanya.
Beliau berkata tiga kakitangan penguatkuasaan telah turun ke kawasan Dah Yeh Villa pada waktu berbeza sepanjang hari untuk menghalang kejadian parkir haram.
Mereka juga memeriksa Lorong Pokok Merbau dan Lorong Pokok Merbau 2 di Taman Kim Leng, menurut beliau.
“Seorang pemilik kereta ditemui meletakan kenderaanya di bahu jalan. Namun pemilik tersebut keluar dan memindahkan kenderaanya ke dalam premis sebelum kompaun dikeluarkan,” ujarnya.
Beliau berkata individu itu telah diberi amaran tegas agar tidak menggunakan kawasan awam sekitar perumahan dengan cara sedemikian lagi.
“Pemandu boleh dianggap melakukan parkir haram jika tiada penanda garisan dicat di kedua-dua sisi jalan yang digunakan oleh kenderaan mereka.
“Ia tidak mengira sama ada kenderaan tersebut menghalang aliran trafik di kawasan itu,” tegasnya.
Di bawah Peraturan Kecil (Penyediaan Tempat Letak Kereta) 2014 mereka yang meninggalkan kenderaan di kawasan bukan tempat letak rasmi boleh dikenakan kompaun sehingga RM500, menurut jurucakap itu.
Beliau berkata pesalah berulang dan mereka yang gagal menjelaskan kompaun boleh dibawa ke mahkamah.
Jika didapati bersalah mereka berisiko dikenakan denda sehingga RM20,000, dipenjarakan selama 12 bulan atau kedua-duanya, menurut jurucakap tersebut.
Jurucakap itu berkata kompaun juga telah diletakkan di bawah penyapu cermin hadapan dua kenderaan di Taman Bersatu.
“Kedua-dua kenderaan ini dibiarkan di tepi jalan berdekatan Lorong Palma dan kelihatan seolah-olah tidak dipindahkan untuk beberapa waktu.
“Sebahagian tayar mereka kempis dan cat pada badan kereta telah tercalar di beberapa tempat. Pegawai kami berpendapat kenderaan ini mungkin telah ditinggalkan,” katanya.
Beliau berkata pemilik diberi tempoh masa untuk memindahkan kenderaan mereka.
“Sekiranya gagal mematuhi kami akan mendapatkan bantuan Jabatan Pengangkutan Jalan untuk mendapatkan maklumat pemilik.
“Notis penundaan akan dihantar kepada mereka. Mereka akan diberi tempoh untuk memindahkan kenderaan ke dalam premis,” tambahnya.
Beliau berkata pemeriksaan susulan akan dilakukan selepas itu.
“Jika kenderaan masih ditemui di tepi jalan kami akan mengupah pengusaha trak tunda untuk mengeluarkannya,” katanya.
Jurucakap itu menekankan bahawa DBKK mengambil serius isu pembuangan kenderaan kerana ia memberi pandangan buruk kepada orang ramai.
“Lebih penting kenderaan dan lori yang tidak diingini ini boleh menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes.
“Kami berhasrat mencegah wabak denggi berlaku di kawasan sekitar,” ujarnya.


