
DEWAN Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) memantau sistem pencahayaan awam di antara bulatan Karamunsing dan Luyang serta laluan utama dari lampu isyarat Foh Sang hingga ke simpang Taman Fu Yen bagi memastikan jalan-jalan di kawasan berkenaan terang dan selamat pada waktu malam.
Jurucakap Jabatan Kejuruteraan DBKK berkata kontraktor elektrik pihaknya telah diminta menjalankan pemeriksaan berkala terhadap lampu jalan sepanjang laluan sejauh 1.1 kilometer dari bulatan jejambat Bukit Nenas hingga ke bulatan yang menghala ke Kolej Gaya.
Katanya jajaran yang termasuk dalam kawasan pemantauan itu ialah Jalan Bertingkat Bukit Nenas, sebahagian Jalan Kolam berhampiran Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu, Jalan Kebajikan dan Jalan Maktab Gaya.
“Sebahagian kabel yang membekalkan kuasa kepada lampu di jejambat tersebut telah diganti baru-baru ini selepas didapati terbakar.
“Masalah sambungan neutral yang longgar dikenal pasti menyebabkan trip pada talian penghantaran standard,” katanya.
Bagi lampu di Jalan Kebajikan dan Jalan Maktab Gaya pula beliau berkata sebahagian kabel aluminium PVC 16 milimeter di kawasan tersebut didapati putus dua.
“Kakitangan kontraktor menggantikan kira-kira 50 meter kabel udara yang terjejas. Mereka turut membaiki empat sambungan talian di laluan kedua,” katanya.
Menurutnya kabel yang terputus itu dipercayai tersangkut pada dahan pokok yang terlalu rimbun di kawasan berkenaan.
“Pihak Landskap telah dimaklumkan mengenai perkara ini dan kami meminta agar pokok-pokok berkenaan dipangkas bagi mengelakan gangguan terhadap pencahayaan awam di kawasan Luyang,” tambahnya.
Jurucakap wanita Jabatan Landskap DBKK berkata pasukan Unit Pokok telah menjalankan kerja pemangkasan di sepanjang 166 meter di Jalan Kebajikan.
“Seramai 10 pekerja kami dengan sebahagiannya menggunakan gergaji rantai memangkas dahan-dahan yang menceroboh ruang udara berhampiran lampu jalan.
“Kami turut menggunakan satu jentera ‘skylift’ dan sebuah lori enam tan bagi memudahkan kerja tersebut,” ujarnya.
Apabila ditanya mengenai kekerapan kerja pemangkasan dilakukan beliau berkata ia dijalankan secara ad hoc mengikut keperluan.
“Bagaimanapun bagi memastikan lampu jalan terus berfungsi dengan baik kakitangan kami diminta memantau keadaan pokok dan bertindak segera sekiranya terdapat masalah,” katanya.
Sementara itu bagi lampu di sepanjang 356 meter Jalan Kolam antara lampu isyarat Foh Sang dan simpang Jalan Angsa jurucakap DBKK berkata 11 daripada 13 unit lampu di laluan itu didapati rosak.
“Terdapat lima unit lampu lengan tunggal di kedua-dua sisi jalan utama dan lapan unit lampu lengan berkembar di pembahagi jalan.
“Kakitangan kontraktor telah membaiki beberapa ballast dan ignitor berkuasa 250 watt bagi lampu tersebut,” katanya.
Menurut beliau ‘ballast’ berfungsi mengawal arus elektrik ke lampu serta membekalkan voltan mencukupi untuk menghidupkannya manakala ‘ignitor’ berperanan sebagai pemula untuk meningkatkan voltan awal agar lampu menyala.
Kontraktor turut menjalankan ujian pada waktu siang bagi memastikan semua lampu berfungsi sebelum kembali pada waktu malam untuk menilai tahap pencahayaan di kawasan terlibat.
“Beliau juga memantau kawasan yang dikenal pasti sebagai titik masalah selama beberapa hari selepas itu.
“Sepanjang tempoh tersebut tiada lampu yang mengalami kerosakan semula. Namun begitu kami tetap mengarahkan kontraktor meningkatkan pemantauan waktu malam demi keselamatan ratusan pemandu yang menggunakan laluan ini setiap hari,” ujarnya.


