DBKK pergiat usaha selenggara pokok, landskap

LocalEnvironment
26 Sep 2025 • 2:35 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

DEWAN Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) meningkatkan usaha menyelenggara kehijauan di rizab jalan dan longkang dalam kawasan pentadbirannya susulan maklum balas mengenai pokok-pokok yang tidak terurus di sebuah kejiranan di Luyang.

Beberapa pemilik rumah bimbang risiko kerosakan harta benda sekiranya dahan-dahan besar patah dan tumbang ke dalam kawasan kediaman mereka selepas menyaksikan bagaimana pokok-pokok itu digoncang angin kencang serta hujan lebat di Ibu Negeri awal bulan ini.

Mereka juga mengeluh dengan masalah daun kering yang berselerakan di halaman rumah dan menyebabkan longkang di hadapan pagar kediaman tersumbat.

Seorang penduduk yang terjejas menghubungi Hotline dan memberikan lokasi pokok-pokok yang tidak terurus itu kemudiannya disalurkan kepada pihak DBKK.

Jurucakap Jabatan Landskap DBKK berkata anggota dari Unit Pemangkasan Pokok (TPU) telah membuat pemeriksaan awal di Lorong Gunung Ledang tidak lama selepas itu.

“Mereka mengenal pasti tiga batang pokok di tepi jalan yang perlu diberi perhatian,” katanya.

“Dahan pokok-pokok itu sudah menceroboh laluan kabel elektrik berhampiran rumah di kawasan Taman Milek Fasa 1.

“Kanopi pokok-pokok ini juga membuatkan ia kelihatan berbahaya.”Beliau berkata pekerja Unit itu kembali ke kawasan perumahan berkenaan bersama sebuah kenderaan sky-master dan lori terbuka lapan tan untuk memulakan kerja penyelenggaraan.

“Kerja merendahkan ketinggian pokok serta membersihkan dahan yang dipangkas mengambil masa beberapa hari.”Jurucakap itu menjelaskan bahawa pokok-pokok milik DBKK dipangkas dari semasa ke semasa mengikut keperluan manakala rumput di rizab jalan pula dipotong setiap bulan.

Menurutnya Unit itu telah bertindak balas terhadap 16 aduan melibatkan pokok tumbang sepanjang hujan lebat sempena cuti panjang Hari Malaysia.

“Kami dimaklumkan mengenai pokok dan dahan yang menghalang lalu lintas di beberapa jalan atau dalam sesetengah kes mengancam keselamatan harta persendirian.”Beliau berkata dua pasukan – masing-masing terdiri daripada 10 anggota Jabatan Landskap  telah dihantar ke pelbagai lokasi termasuk sebahagian Jalan Bukit Padang, Jalan Gaya, Jalan UMS, Jalan Dewan Undangan Negeri, Jalan Bukit Bendera dan Jalan Signal Hill Park antara 13 hingga 16 September.

Katanya mereka turut dikerahkan ke kawasan komersial Kepayan berhampiran Lorong Bunga Tanjung serta jalan perumahan sekitar Taman Damai di Luyang dan Kingfisher Park di Inanam.

Jurucakap itu berkata DBKK bekerjasama dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan konsesi Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk menangani sebahagian halangan ini.