DBKK tangani 43 kes pokok, ranting tumbang akibat cuaca buruk

LocalEnvironment
30 Sep 2026 • 4:41 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

DBKK tangani 43 kes pokok, ranting tumbang akibat cuaca buruk

DEWAN Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) menangani sebanyak 43 kes berkaitan pokok dan kehijauan akibat angin kencang serta hujan lebat yang melanda ibu negeri secara berselang-seli sejak lebih sebulan lalu.

Agensi berkenaan sentiasa bersiap sedia menangani kejadian pokok dan dahan tumbang di kawasan pentadbirannya sejak sebelum cuti umum Hari Merdeka.

Jurucakap Jabatan Landskap DBKK berkata Unit Pengurusan Pokok (TMU) bertindak terhadap 20 kes berkenaan pada 28 Ogos, 20 lagi antara 1 dan 19 September serta tiga kes pada 22 September lalu.

SEBATANG pokok yang tumbang di Taman Faber dipotong kepada bahagian yang lebih mudah dikendalikan.“Maklumat diterima mengenai pokok dan dahan yang menghalang lalu lintas di beberapa jalan atau, dalam sesetengah kes, membahayakan pemilik kenderaan dan harta persendirian,” katanya.

Beliau berkata anggota Jabatan Landskap dihantar ke beberapa lokasi termasuk sebahagian Jalan Tun Razak, Jalan Kolam, Jalan Tuaran Bypass, Jalan Lintas, Jalan KK-Bypass, Jalan Coastal, Jalan Sempelang dan Lorong Teratai sepanjang tempoh 25 hari berkenaan.

Menurutnya pasukan itu turut ke beberapa laluan di sekitar Taman Maju Kota, Taman Puri Saujana, Taman Faber, Taman Iramanis, Taman Yakim Jaya, Kampung Warisan Taman Public Jaya, Taman Bukit Sepanggar dan pekan Manggatal.

“Turut diperiksa ialah kawasan parkir di belakang ibu pejabat DBKK di Jalan Tugu serta kawasan Kompleks Stesen Pertanian Manggatal.

“Sky-Master dan dua lori seberat enam tan milik kami dikerahkan bagi membantu usaha berkenaan.

“Kakitangan kami menggunakan gergaji rantai untuk memotong pokok dan dahan yang tumbang kepada bahagian yang lebih mudah dikendalikan sebelum sisa berkenaan dibersihkan di lokasi terbabit,” ujarnya.

Jurucakap itu berkata kakitangan Jabatan Landskap turut bekerjasama dengan anggota penguat kuasa, selain anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Sabah Electricity (SE) dan Telekom Malaysia Bhd (TM) bagi menangani sebahagian daripada halangan berkenaan.

Susulan kejadian yang berlaku sejak beberapa minggu lalu katanya kakitangan Jabatan Landskap diminta supaya memberi lebih perhatian terhadap keadaan pokok dan tumbuhan yang tumbuh di sepanjang jalan di bawah bidang kuasa DBKK.

Menurutnya langkah itu sedikit sebanyak dapat mengelakkan orang awam daripada mengalami kesulitan akibat sebarang masalah melibatkan pokok dan rumput di bahu jalan dalam kawasan pentadbiran DBKK.

“Pokok yang berada di bawah seliaan kami dipangkas apabila perlu. Manakala rumput di bahu jalan pula dipotong setiap bulan,” jelasnya.

Jurucakap itu berkata Unit Pengurusan Pokok (TMU) telah menebang secara pencegahan lebih 63 pokok berbahaya termasuk pokok yang mati atau berpenyakit sejak Januari menerusi ‘Ops Pokok Sihat, Bandar Selamat’.

SISA dahan yang tumbang dan menghempap talian TM di Lorong Teratai dimuatkan ke dalam sebuah lori terbuka.“Operasi ini bertujuan melindungi orang awam daripada potensi bahaya yang berpunca daripada pokok tumbang atau dahan patah,” katanya.

Beliau berkata anggota unit itu menjadikan keselamatan dan kesihatan semua pokok yang diselenggara DBKK sebagai sasaran mereka tahun ini.

“Kakitangan TMU akan memeriksa keadaan pokok ini secara berkala dan menjalankan kerja pemangkasan mengikut jadual bagi meminimumkan risiko keselamatan yang ditimbulkan oleh pokok berkenaan,” ujarnya.

Katanya mana-mana pokok yang dikenal pasti berisiko tinggi akan ditebang, manakala pokok berisiko rendah akan dipangkas.

“Yang dimaksudkan dengan ‘berisiko tinggi’ ialah pokok yang sudah mati atau berpenyakit,” jelasnya.

Jurucakap itu berkata semakan rekod menunjukkan lebih 3,000 pokok milik agensi berkenaan telah diselenggara sejak awal tahun ini.

Menurutnya kerja berkenaan dijalankan sebagai sebahagian daripada penyelenggaraan berjadual terhadap tumbuh-tumbuhan di sepanjang beberapa jalan utama di sekitar Kota Kinabalu.

Beliau berkata empat pasukan di bawah TMU masing-masing terdiri daripada lapan kakitangan Jabatan Landskap menggunakan gergaji rantai untuk memangkas dahan yang tumbuh terlalu lebat di kawasan berkenaan.

“Dalam sesetengah kes, mereka turut membuang tumbuhan menjalar dan tunas baharu yang tumbuh daripada pokok sedia ada.

“Sebuah lori lapan tan dan pada kebanyakan masa, Sky-Master turut digunakan oleh pasukan ini,” tambahnya.

Antara pokok yang diselenggara unit berkenaan ialah pokok Angsana (Pterocarpus indicus), Semarak Api (Delonix regia), Cabbage (Andira inermis), Tanjung (Mimusops elengi), Kayu Manis (Cinnamomum iners), Ketapang (Terminalia catappa), Pong-Pong (Cerbera odollam), Mahogani (Swietenia macrophylla) dan Kelapa (Cocos nucifera).

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved