DBKL buat laporan polis insiden baling kelapa terhadap penguat kuasa

27 Oct 2026 • 5:27 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: DBKL buat laporan polis insiden baling kelapa terhadap penguat kuasa

PETALING JAYA – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membuat laporan polis susulan insiden kekecohan ketika operasi sitaan terhadap seorang penjaja tanpa lesen di Jalan Tun Tan Cheng Lock, Kuala Lumpur, kelmarin.

DBKL dalam kenyataan memaklumkan, insiden berlaku apabila beberapa individu didakwa melakukan provokasi.

“Ia termasuk merosakkan barangan jualan serta membaling botol air dan buah kelapa ke arah anggota penguat kuasa serta kenderaan jabatan itu,” katanya hari ini.

Bagaimanapun, katanya, tiada kecederaan dilaporkan membabitkan anggota penguat kuasa dalam kejadian berkenaan.

Menurut DBKL, tindakan sitaan terhadap penjaja terbabit dilaksanakan kira-kira pukul 2 petang selepas didapati menjalankan aktiviti penjajaan tanpa lesen yang sah.

“Tindakan itu dibuat susulan aduan serta teguran lisan dan notis kompaun yang dikeluarkan pada 18 Oktober lalu di bawah Undang-Undang Kecil 3(1), Undang-Undang Kecil Pelesenan Penjaja (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 2016.

“Hasil semakan mendapati penjaja berkenaan tidak mempunyai lesen penjajaan yang sah di lokasi tersebut,” ujarnya.

Katanya, dua lesen yang dikemukakan pihak lain pula didapati milik pemegang bagi lokasi bersebelahan dan lesen premis di Kasturi Walk yang telah dibatalkan pada 10 Jun 2025.

DBKL menjelaskan, daripada dua penjaja yang berada di lokasi ketika kejadian, hanya penjaja tanpa lesen sah dikenakan tindakan sitaan.

“Operasi penguatkuasaan dilaksanakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) jabatan dengan anggota bertugas memakai kamera badan,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

The post DBKL buat laporan polis insiden baling kelapa terhadap penguat kuasa appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved