
SHAH ALAM, 27 OKT: Pengetua sebuah sekolah di Bagan Datuk, Perak yang didakwa melakukan gangguan seksual terhadap pelajar tingkatan tiga tampil membuat laporan polis selepas video memaparkan dirinya diserang keluarga pelajar itu tular.
Ketua Polis Perak Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata lelaki berusia 56 tahun itu membuat laporan pada 25 Oktober lalu, sehari selepas keluarga pelajar terbabit membuat laporan polis.
Menurutnya, laporan berkenaan dibuat kerana pengetua itu tidak berpuas hati terhadap penyebaran video berkenaan, selain mendakwa dirinya diserang keluarga pelajar tersebut.
"Dia (pengetua) ada buat laporan polis pada 25 Oktober kerana tidak berpuas hati atas video yang ditularkan itu.
"Bagaimanapun, kita akan melihat daripada siasatan yang teliti berkaitan perkara ini kerana ia membabitkan penjawat awam," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak hari ini, lapor Harian Metro.
Mohd Alwi berkata siasatan terhadap laporan pengetua itu dijalankan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berhubung penggunaan tidak wajar kemudahan dan perkhidmatan rangkaian.
"Bagi kes ini, kita dapati keluarga mangsa menyerang guru terbabit atas tindakan guru itu yang didakwa membuat panggilan kepada pelajar berkenaan seperti yang dikatakan sebelum ini iaitu bagi meluahkan rasa cinta dan sayang," katanya.
Beliau memaklumkan polis setakat ini merakam keterangan sembilan saksi termasuk pengetua berkenaan bagi membantu siasatan.
Sementara itu, susulan laporan dibuat ibu pelajar terbabit pada 24 Oktober, polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 15(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Terdahulu, Menteri Pendidikan Datuk Seri Fadhlina Sidek mengarahkan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak menyiasat dakwaan gangguan seksual itu, manakala pengetua berkenaan ditempatkan sementara di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Bagan Datuk sehingga siasatan JPN selesai.






